• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

20 Peratus KRT Di Terengganu Tidak Aktif

KUALA TERENGGANU23 Februari- Kurang penyertaan daripada golongan muda menjadi antara faktor kira-kira 20 peratus daripada keseluruhan 529 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di negeri ini tidak lagi aktif.

Pengarah Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Terengganu, Mohd Rosli Alias berkata, faktor lain dikesan ialah masalah kepimpinan, tidak berminat dan lain-lain.


Justeru katanya, bagi mengatasi masalah tersebut pihak jabatan telah melaksanakan penyusunan semula barisan jawatankuasa KRT.

“20 peratus yang tidak aktif dan kurang aktif itu disebabkan pelbagai faktor termasuk kepimpinan, kita tidak akan menutup KRT ini, tetapi ambil tindakan untuk memulihkan dan mengaktifkan kembali dengan salah satunya kita buat penyusunan balik barisan jawatankuasa KRT terbabit,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas isu KRT yang tidak aktif di negeri ini pada Majlis Penutup Program Harmoni Peringkat Tegeri Terengganu yang disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita Dan Keluarga Dan Perpaduan Nasional Negeri, Alias Harun di Taman Sinar Harapan, di sini, hari ini.

Rosli berkata, pihaknya menetapkan sasaran untuk menyelesaikan masalah tersebut tahun ini memandangkan peranan KRT begitu meluas termasuk projek meningkatkan ekonomi dan kesejahteraan penduduk. 

“Sasaran kita untuk selesaikan tahun ini, dua tahun sekali KRT akan dinilai keaktifannya.

“Kita mahu kewujudan rukun tetangga itu dirasai oleh komuniti setempat melalui program-program yang diadakan dimana kalau kita lihat program KRT ini menyeluruh, ia bukan sahaja untuk meningkatkan soal interaksi perpaduan bahkan juga untuk kesejahteraan,” ujarnya.

Katanya, pihak jabatan juga menyasarkan untuk menubuhkan satu KRT baru di setiap daerah tahun ini.