• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

20 Produk Terengganu Di Bumi Dublin

KUALA TERENGGANU, 31 Mei-  Sebanyak 20 jenama produk keluaran anak Terengganu telah dibawa ke Dublin, Ireland bagi tujuan mempromosikan barangan negeri ini ke negara luar.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro Dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, terdapat peluang dan ruang untuk produk-produk keluaran usahawan Terengganu dipasarkan ke negara luar.

“Kita dalam misi mencari peluang-peluang baru untuk pasaran di Dublin, Ireland serta London. Perbincangan telah dibuat bersama pihak kedutaan dan mendapati ada peluang dan ruang untuk kita masukkan produk-produk usahawan Terengganu ke kedua-dua tempat ini samada di Dublin atau London.

“Cuma mekanisma yang ada sekarang ini perlu ditambah baik dan dinaik taraf dimana lompang-lompang perlu diisi serta peluang-peluang yang ada perlu diterokai. Lebih-lebih lagi apabila sebanyak 20 ‘stock-keeping unit’ (SKU) telah dihantar ke Hibiscus Store Limited, Dublin,” katanya.

Hadir sama dalam lawatan kerja ke Dublin, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu, Mohd Rashdan Muda.

Antara jenama yang telah dibawa adalah Rempah Cap Bunga Ros, Rempah Tok Ma, Pertima, Sedap Koko, Tenang Recipe, Kopi Layar, Kopi Larich, Nuriq Enterprise, Rochinur, Keropok TokYam dan lain-lain.

Pelancaran dan penyerahan produk-produk tersebut telah disempurnakan oleh Nurkhuzaini dan turut disaksikan wakil Kedutaan Besar Malaysia di Ireland, Nadzira Abd Razak dan Pengaran Urusan Hibiscus Store Limited, Abdul Manan Kamarulzaman.

Tambah Nurkhuzaini, barangan tersebut mempunyai permintaaan tinggi namun beberapa perkara perlu diteliti supaya mencapai piawaian.

“Kita mempunyai permintaan (produk), cuma pengeluaran perlu ditingkatkan selain produk-produk baru seperti yang disebut oleh Ketua Pegawai Eksekutif YPU sebagai contoh ubi kayu daripada Afrika yang di eksport ke Dublin, Ireland kerana ianya merupakan makanan asas penduduk Afrika di sini.

“Jadi bahan-bahan ini ada dan usahawan kita pun ada di sini cuma ia perlu diinovasikan supaya dapat diguna pakai oleh masyarakat setempat (Dublin) sekali gus dapat mencari pasaran lebih luas,” katanya.