• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

MBKT Sedia 20 Tapak Bazar Ramadan, Tiga Tapak Bazar Raya

KUALA TERENGGANU, 29 Mac - Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menyediakan 20 lokasi bazar ramadan dan tiga kawasan bazar raya tahun ini.

Datuk Bandar Kuala Terengganu, Shahidan Embok memberitahu, semua bazar ramadan itu akan mula beroperasi pada hari pertama bulan puasa yang dijangka 13 April depan.

Jelasnya, MBKT menetapkan waktu operasi bazar ramadan adalah mulai jam 3 petang hingga 7 petang setiap hari.

"Jarak lokasi bazar ramadan tahun ini berdekatan antara satu sama lain terpaksa disediakan sebagai memenuhi permintaan peniaga selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Pertambahan lokasi bazar ramadan  juga dilakukan berikutan kedudukan gerai jualan perlu dijarakkan sepanjang 1.5 meter antara satu sama lain," ujarnya pada sidang media hari ini.

Tambah Shahidan, penambahan lokasi dilakukan bagi mengelakkan keadaan bersesak selain membantu kerajaan mengurangkan penularan pandemik COVID-19.

"MBKT juga sudah mengeluarkan garis panduan pematuhan SOP iaitu hanya satu laluan masuk dan satu laluan keluar disediakan di semua tapak bazar ramadan.

"Jumlah pengunjung juga turut dihadkan berdasarkan keluasan tapak bazar ramadan dan peniaga serta pengunjung perlu melalui proses ujian suhu badan selain diwajipkan sentiasa memakai pelitup muka," katanya.

Mengulas mengenai bazar raya, menurutnya, tiga lokasi tapak bazar raya disediakan di sekitar kawasan bandaraya Kuala Terengganu.

Katanya, tiga lokasi bazar raya adalah di Dataran Shah Bandar, Jalan Paya Keladi dan di tapak stesen teksi.

"Bazar raya di Dataran Shah Bandar akan beroperasi mulai 13 April, manakala di Jalan Paya Keladi dan tapak stesen teksi pada 27 April.

"Pematuhan SOP di lokasi tapak bazar raya juga sama seperti ditetapkan di rapak bazar ramadan," katanya.


Tag: