• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

200 Anak Penyu Dilepaskan Di Pantai Jambu Bongkok

MARANG,  31 Julai- Sebanyak 200 ekor anak penyu dilepaskan ke laut yang dilakukan di Pantai Jambu Bongkok di sini baru-baru ini, dalam usaha memulihara hidupan marin berkenaan daripada mengalami kepupusan.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri, Sulaiman Sulong berkata, program pelepasan anak penyu itu adalah hasil kerjasama Sekolah Kebangsaan Jambu Bongkok, PIBG Sekolah Kebangsaan Jambu Bongkok, FRI Rantau Abang dan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu.

Katanya, program seumpama itu sewajarnya menjadi contoh terbaik mendidik masyarakat memulihara penyu yang kini diancam kepupusan.

"Diharap ianya menjadi motivasi kepada semua pihak terutama pelancong dan nelayan agar sayangkan spesis tersebut. 

"Ini kerana berdasarkan pemerhatian pihak berkaitan, setiap 1,000 ekor penyu yang dilepaskan, kebarangkalian penyu yang akan naik bertelur hanya seekor, " ujarnya seperti yang dipetik dalam laman Facebook rasmi Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu. 

Tambah beliau, penyu yang dilepaskan itu diharap akan kembali semula ke Terengganu dan akan menjadi tarikan kepada industri pelancongan dan seterusnya memberi pulangan ekonomi kepada komuniti setempat.