• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

200 Penduduk Daftar Vaksin Respon Kempen Teganu Prihatin

BESUT, 2 April- Sekitar 200 penduduk Pulau Perhentian mendaftar bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dalam program Teganu Prihatin, petang semalam.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Modal Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah, hal itu merupakan perkembangan yang baik dikalangan rakyat terhadap program imunisasi ditetapkan kerajaan.

"Hari ini kita berjaya mengumpulkan kira-kira 200 pendaftar vaksin di pulau ini.

"Cuma mereka bertanya adakah mereka akan dibawa ke daratan atau proses vaksin akan diadakan di sini?," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program berkenaan di Dewan Utama Balai Bomba Sukarela, Pulau Perhentian malam tadi.

Turut hadir, pegawai penyelaras DUN Kuala Besut, Azbi Salleh serta pengarah Jabatan Penerangan Negeri (JaPen) Terengganu, Ahmad Ammar Othman.

Jelasnya lagi, penganjuran program lanjutan daripada Malaysia Prihatin itu memperlihatkan reaksi positif daripada rakyat.

Usahasama JaPen, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Agensi Anti Dadah Malaysia (AADK), Jabatan Kesihatan Negeri (JKNT) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dengan sokongan padu Pejabat Daerah dan Tanah Besut serta pegawai penyelaras DUN memberikan banyak manfaat khususnya kepada penduduk pulau itu.

"Kita ambil pendekatan bersama-sama agensi memberikan kesedaran kepada rakyat tentang dasar negara dan negeri, disamping mempromosikan pulau ini.

"Kita juga tidak melupakan usaha dakwah apabila kempen Jom Solat Berjemaah serta aktiviti keagamaan turut diselitkan di dalamnya," katanya.

Mohd Nor menambah, Program Teganu Prihatin kali ini diadakan untuk mendedahkan kepada penduduk tentang pandemik Covid-19 serta kempen kesedaran vaksinasi dan pengamalan norma baharu untuk penduduk di situ.

"Ini usaha paling baik kerana kita turun bersama agensi dan jabatan untuk bantu komuniti lebih-lebih lagi di kawasan pedalaman yang agak sukar untuk mereka keluar.

"Program ini secara tidak langsung mengeratkan hubungan rakyat dan agensi selain memudahkan mereka menyelesaikan urusan berkaitan jabatan," katanya.