• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

200 Sertai Jelajah Kasih Bersama YBC

KEMAMAN, 17 September - Seramai 200 peserta memeriahkan konvoi motosikal Jelajah Kasih Bersama YBC (Yang Berhormat Cukai) sempena sambutan Hari Malaysia, semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat memanjat kesyukuran ke hadrat Ilahi di atas kejayaan mengadakan program tersebut.

"Alhamdulillah, hari ini kita berjaya mengadakan program di antara agensi kerajaan bersama masyarakat bagi merapatkan silaturahim di antara satu sama lain. Mana yang jauh kita dekatkan dan yang dekat kita rapatkan demi mencapai keredhaan Allah S.W.T," ujarnya.

Katanya lagi, selain daripada itu program yang diadakan ini bagi menyatakan jati diri kepada negara Malaysia yang aman dan makmur samada di bidang ekonomi, pendidikan, sosial dan juga politik.

"InsyaAllah, kita mengharapkan kemakmuran yang ada pada hari ini merupakan nikmat yang diberikan oleh Allah S.W.T," ujarnya ketika merasmikan program tersebut sebelum pelepasan peserta konvoi di Pekarangan Pejabat Daerah Kemaman.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri turut berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program itu.

Konvoi motosikal tersebut menyaksikan para peserta memulakan perjalanan bermula dari Pejabat Daerah dan Tanah Kemaman menuju ke Pantai Kemasik. Di sana seramai 50 orang fakir miskin menerima sumbangan berbentuk wang tunai, beras dan barangan dapur. Manakala, Hanafiah turut menyampaikan beberapa kotak mengandungi lampin pakai buang kepada Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kemasik untuk diagihkan kepada sebahagian mereka yang memerlukan.

Selepas daripada itu, konvoi motosikal itu bertolak menuju ke destinasi terakhir iaitu di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Cukai. Di sana seramai 50 orang anak yatim menerima sumbangan berbentuk wang tunai dan cenderahati.

Antara pihak yang turut terlibat dalam menjayakan program tersebut ialah Pejabat Daerah dan Tanah Kemaman, Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman, Majlis Perbandaran Kemaman, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Penerangan Malaysia, Akademi Didik Ulamak Amilin Terengganu (DUAT), Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kemasik, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kijal, Alternative Riding Club (ARC) Kemaman, Jabatan Amal Kemaman dan lain-lain.


Tag: