• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

200 Sukarelawan Syariah Kuala Terengganu Bantu Cegah Maksiat

KUALA TERENGGANU, 7 September - Kerajaan negeri mengalu-alukan penglibatan seramai kira-kira 200 orang sukarelawan syariah bagi daerah Kuala Terengganu yang akan bertugas membantu Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) membanteras maksiat di seluruh negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO (badan bukan kerajaan) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pertambahan tersebut sangat membantu tugas mencegah kemungkaran yang menjadi tanggungjawab semua umat Islam.

"Sebelum ini bahagian penguatkuasa di bawah Pejabat Hal Ehwal Agama Kuala Tengganu hanya mempunyai seramai tujuh orang anggota penguatkuasa sahaja. Jadi sudah tentu tenaga tersebut tidak cukup untuk menjaga daerah Kuala Terengganu yang penduduknya berjumlah lebih 150,000 orang.

"Kerana itu alhamdulillah, dengan inisiatif Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri yang membuka peluang kepada mana-mana rakyat Terengganu atau NGO untuk turut serta dalam sukarelawan ini, rakyat kita lebih prihatin terhadap orang sekeliling.

"Untuk kawasan Kuala Terengganu, saya difahamkan kita mempunyai seramai 200 orang sukarelawan syariah yang akan bertindak membantu JHEAT bagi membanteras maksiat yang mungkin akan berlaku. Terima kasih kepada semua yang mendaftar sebagai sukarelawan syariah.

"Insya-Allah semoga usaha mulia ini dapat menjaga keharmonian dan juga keberkatan rakyat Terengganu khususnya di daerah ini," katanya kepada pemberita pada sidang media sempena Seminar Pemantapan Sukarelawan Syariah Daerah Kuala Terengganu di sini hari ini.

Turut hadir dalam program tersebut, Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Soud Said, Ketua Pegawai Penguatkuasa Syariah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mohd Adnan Abdullah dan Pegawai Syariah Daerah Kuala Terengganu, Syukri Faiz Jusoh.

Dalam perkembangan sama, mengulas mengenai ruang lingkup tugas sukarelawan syariah, katanya, dalam rondaan yang bakal dilakukan, mereka akan mendapatkan nasihat daripada penguatkuasa JHEAT tentang ilmu dan kaedah mendekati sasaran supaya tidak memberikan mudarat.

"Kita akan membuat rondaan ke tempat-tempat yang biasa menjadi tumpuan muda-mudi atau sesiapa sahaja yang berkemungkinan melakukan gejala negatif. Pendekatan sukarelawan syariah yang kita gunakan adalah memberikan nasihat dan teguran.

"Sekiranya perbuatan tersebut memerlukan kepada tangkapan atau serbuan, kita akan terlebih dahulu mendapatkan bantuan daripada penguatkuasa yang bertauliah," jelasnya.