Terengganu Ajak Rakyat Hayati Peristiwa Penting Nuzul Al-Quran
20,000 Benih Ikan Dilepaskan Ke Sungai Kampung Titian Baru
MARANG, 27 Februari- Sebanyak 20,000 benih ikan telah dilepaskan ke Sungai Kampung Titian Baru melalui program pemuliharaan sumber perikanan yang berlangsung hari ini.
Program yang dianjurkan Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payung dengan kerjasama Jabatan Perikanan Negeri Terengganu itu menyaksikan pelepasan 10,000 benih ikan baung dan bakinya benih ikan lampam sungai dengan nilai keseluruhan berjumlah RM8,500.
Majlis pelepasan benih ikan tersebut disempurnakan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung, Dato’ Mohd Nor Hamzah.
Program tersebut bertujuan memulihara ekosistem sungai, menambah populasi ikan air tawar serta memberi manfaat kepada komuniti setempat khususnya golongan nelayan darat.
Dalam ucapannya, Mohd Nor menekankan kepentingan pemuliharaan alam sekitar dan peranan masyarakat dalam menjaga sumber perikanan demi keseimbangan ekosistem.
“Pelepasan benih ikan ini bukan sekadar usaha meningkatkan sumber perikanan, tetapi juga untuk memastikan kelangsungan ekosistem sungai bagi generasi akan datang.
"Saya menyeru agar masyarakat bersama-sama menjaga kebersihan sungai dan mengamalkan kaedah penangkapan ikan yang lestari,” ujarnya.
Katanya, program terbabit turut disertai oleh penduduk setempat, agensi berkaitan dan pemimpin masyarakat yang sama-sama menyokong inisiatif pemuliharaan sungai.
"Dengan usaha berterusan seperti ini, diharapkan Sungai Titian Baru akan terus menjadi habitat semula jadi bagi spesies ikan air tawar, sekali gus membantu meningkatkan sumber ekonomi penduduk sekitar, " ujarnya.