21 PPS Dibuka, Tempatkan Mangsa Banjir Dungun

DUNGUN, 25 Disember- Sebanyak 21 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka di daerah ini susulan banjir gelombang ketiga yang melanda Terengganu ketika ini. 

Menurut laporan Bilik Gerakan Bencana Daerah Dungun, PPS terbabit melibatkan empat Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Sura, Paka, Rantau Abang dan Bukit Besi.

"Dungun mencatatkan mangsa banjir tertinggi ketika ini ekoran hujan lebat berterusan dan air sungai melimpah ke paras berbahaya. 

"Setakat pukul 7 pagi tadi, seramai 1,149 orang mangsa banjir daripada 299 keluarga ditempatkan di 21 PPS daerah ini, " ujarnya. 

Sementara itu, Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli memohon agar semua penduduk di daerah Dungun mengambil langkah berjaga-jaga memandangkan hujan masih berterusan dan air sungai meningkat ke paras berbahaya. 

"Saya mengharapkan mereka sabar dan tabah dalam menghadapi ujian ini. Terima kasih diucapkan kepada pihak keselamatan yang menjalankan tugas menyelamat dan memindahkan mangsa banjir ke tempat yang selamat.

"Marilah kita berdoa agar dijauhkan dan diselamatkan diri dan keluarga daripada bencana ini," ujarnya lagi.


Tag: