• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

22 Ribu Lebih Benih Ikan Dan Udang Dilepaskan Di Sungai Berang

HULU TERENGGANU, 23 September – Sebanyak 22,550 ekor benih dilepaskan di Sungai Berang Kampung Buloh hari ini. 

Pegawai Penyelaras Parlimen Hulu Terengganu, Muhyiddin Abdul Rashid berkata, ia terdiri dari 20,000 ekor udang galah, 2,000 ikan lampam, 500 ikan Baung dan 50 ekor Kelah.

Katanya, kerjasama yang baik daripada pihak Jabatan Perikanan dan penduduk kampung Buloh dapat menjayakan program sebegini walaupun secara ringkas. 

“Dengan usaha ini, sedikit sebanyak dapat membantu penduduk kampung sebagai orang tempatan sebagai sumber mata pencarian dan juga dapat menjadi tarikan pelancong samaada dalam negeri ataupun luar negeri.

“Saya juga mengharapkan penduduk kampung di sini dapat menjaga ekosistem di sungai kita daripada tercemar dan juga membanteras kegiatan yang tidak membantu antaranya menuba ikan atau bom ikan dalam sungai," jelasnya. 

Beliau berkata ketika hadir merasmikan Program Pelepasan Benih Ikan Ke Perairan Umum Serentak Seluruh Terengganu bersempena Tahun Pertanian Negeri Terengganu 2021 di Kampung Buloh. 

Menurut Pegawai Perikanan Negeri Terengganu, Mariam Manip, setiap tahun Jabatan Perikanan akan mengadakan program sebegini dengan melibatkan masyarakat di beberapa lokasi yang yang terpilih. 

Tambahnya, pihak jabatan sentiasa berusaha mencapai sasaran pelepasan benih tahunan bagi memastikan segala usaha tersebut mampu memberi impak kepada nelayan darat yang bergantung kepada hasil hidupan air tawar untuk membantu  menampung kehidupan mereka.

“Pada hari ini bersempena dengan Program Pelepasan Benih Ikan yang dijalankan secara serentak, pihak kami ingin penglibatan komuniti kampung khususnya nelayan (darat) supaya dapat membantu meningkatkan biodiversiti di sungai-sungai, dan membantu merancakkan sosiokenomi penduduk kampung”. 

“Pelepasan benih ikan dan udang ini bagi memulihara, meningkatkan populasi dan menjamin kelestarian sumber perikanan darat, meningkatkan sumber pendapatan serta menyokong dan pemangkin kepada pembangunan industri perikanan rekreasi," ujarnya lagi. 

Dalam pada itu, beliau turut mengalu-alukan sekiranya ada komuniti ataupun penduduk kampung yang ingin bantuan daripada pihak Perikanan untuk melihat agro pelancongan dan sosioekonomi khususnya di sungai Hulu Terengganu terjaga. 

Sementara itu, Mukhtar Ismail bersyukur dengan program sebegini dapat membantu menaiktaraf ekonomi penduduk kampung yang ada sebahagiannya menangkap ikan di sungai. 

Beliau yang juga Pengerusi JPKK Kampung Buloh turut menyeru agar masyarakat kampung sama-sama menyedari akan kepentingan menjaga ekosistem hidupan air tawar dan kepentingan menjaga alam sekitar. 

“Alhamdulillah, terima kasih kepada pihak Jabatan Perikanan dan Pegawai Penyelaras Parlimen Hulu Terengganu membantu dan menjayakan program hari ini,"katanya.