• 06 Okt 2024 | 03 Rabiul Akhir 1446

22 Tahun Menyewa, Suri Rumah Syukur Dapat Tanah

DUNGUN, 16 Februari -Seorang suri rumah tidak dapat menceritakan perasaan gembira dan hanya mampu bersyukur apabila menerima surat undian lot tanah setelah 22 tahun tinggal menyewa.

Rohana Omar, 48, berkata, pemberian tanah tersebut juga membolehkan dia membina rumah sendiri dan tidak lagi perlu menyewa.

"Masa mula-mula menyewa dulu, kadar sewa hanya RM80 sebulan sehinggalah sekarang dengan RM200. 

"Tidak sangka apabila menerima panggilan telefon daripada Pengerusi JPKK Batu Tiong, Mohd Ali Muda yang meminta saya hadir ke rumahnya untuk mengambil surat.

"Bila saya tengok surat, saya rasa syukur kerana ada juga harta sendiri dan berdoa supaya dapat buat rumah," katanya. 

Ibu kepada tiga orang anak itu berkata demikian ketika ditemui di Majlis Undi Lot Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) By pass Batu Tiong yang diadakan di Dewan Al Husna, Darul Ansor, Kampung Alor Mak, semalam. 

Pada majlis yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun itu, seramai 374 orang terpilih untuk melakukan undian lot tanah. 

Sementara jirannya, Nur Farihah  Ali, 30 terkejut menerima surat daripada Mohd Ali untuk panggilan undian lot. 

"Semasa terima surat itu saya tidak dapat menahan air mata kesyukuran akhirnya saya dapat tanah dan nanti akan usahakan buat rumah atas tanah sendiri, tak payah menyewa lagi. 

" Sewa sekarang RM400 ratus, kalau ada rumah sendiri banyak dapat jimat,

"Walaupun kena bayar premium, kira murah doh" katanya. 

Sementara itu, Mohd Ali berkata tiada yang menggembirakannya setelah komunitinya berjaya mendapat tanah daripada kerajaan. 

"Rezeki itu dari Allah dan kita hanya boleh berusaha, kita 'check' mana - mana yang belum ada tanah, 'check' ibu bapa mereka banyak tanah ke macam mana, jadi bila kita sudah pasti, kita minta mereka memohon," katanya. 

Dalam pada itu, ketika berucap merasmikan majlis tersebut Alias mengucapkan tahniah kepada yang berjaya menerima Borang 1A yang menandakan terpilih untuk mengundi lot tanah dan bakal memiliki tanah. 

"Untuk Borang 1A ini, tuan puan diminta menyertai salinan kad pengenalan suami isteri, kalau sudah berkahwin, ini adalah untuk memastikan hanya salah seorang yang memiliki tanah supaya seramai mungkin orang yang dapat tanah," ujarnya. 


Tag: