• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

23 Keluarga Di Lembah Harapan Bakal Terima Rumah Baru

Ahmad Razif bersama salah seorang penduduk Kampung Lembah Harapan yang bakal menerima rumah baharu. Foto oleh Zulkifli C.W. Putra.

Sebanyak 23 keluarga di Lembah Harapan Seberang Takir, Kuala Nerus bakal menerima rumah baharu  berharga kira-kira RM40,000 setiap satu apabila selesai  pemukiman semula kawasan itu.

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, inisiatif tersebut diambil oleh kerajaan bagi membantu penduduk yang sudah lama menetap di situ memiliki kediaman lebih baik dan selesa.

Katanya, pemukiman tersebut juga ekoran daripada pembinaan projek akuapolitan yang sedang dijalankan di Kampung Seberang Pak Abu bagi mewujudkan persekitaran yang lebih menarik dan cantik.

"Penghuni di Lembah Harapan ini telah tinggal di situ lebih 50 tahun tetapi secara haram kerana tinggal di tanah kerajaan..agak sukar kita menyelesaikan isu tersebut kerana keadaan pembinaan rumah yang tidak teratur.

"Atas inisiatif itu maka saya mengambil tindakan untuk mengesahkannya. Maknanya kita akan memberi status tanah itu sebagai tanah kediaman yang sah dianugerahkan oleh kerajaan.

"Semua penduduk di situ merupakan penduduk yang miskin dan mereka semua ini adalah layak menerima bantuan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT)," katanya.


Beliau ditemui pemberita pada Majlis Penyampaian Bantuan Perpindahan Kepada Penghuni Lembah Harapan, Kuala Nerus di Dataran Permata Seberang Takir, Kuala Nerus, hari ini.

Turut hadir, isteri Menteri Besar, To' Puan Seri Halina Zakaria dan Pegawai Daerah Kuala Nerus, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abd Jalil.

Dalam majlis yang sama, 23 penerima rumah tersebut turut menerima bantuan sara hidup sebanyak RM2,000 setiap seorang sementara rumah mereka siap dan mereka akan menyewa di tempat lain dijangkakan selama tiga bulan.

Tambah Ahmad Razif, projek pemukiman semula  tersebut sebagai projek perintis menerusi Tanggungjawab Sosial Korporat(CSR) syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Dalam pada itu, beliau memberitahu,  kawasan tersebut dipilih adalah kerana bagi memudahkannya untuk memantau projek yang terletak di Dewan Undangan Negeri Seberang Takir.

"Saya ambil di Seberang Takir kerana mudah untuk saya pantau. Kalau projek ini berjaya, pada tahun hadapan kita akan laksanakan di seluruh Terengganu menggunakan konsep yang sama," katanya.

Tag: