• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

2.4 Juta Benih Ikan Dilepaskan di Tasik Kenyir

HULU TERENGGANU, 22 Mei- Jabatan Perikanan Malaysia Terengganu (Perikanan) telah melepaskan sebanyak 2.4 juta benih ikan asli di Tasik Kenyir sejak tahun 2020 hingga 2023.

Pengarahnya, Ruzaidi Mamat berkata, pelaksanaan dengan kerjasama kerajaan negeri dan Persekutuan di bawah Program Pengayaan Sumber Perikanan Darat Negeri Terengganu itu dianggarkan bernilai RM1 juta sepanjang tempoh berkenaan.

"Untuk tahun ini, kita telah melepaskan 250,000 ekor benih ikan dan masih ada lagi beberapa sungai dalam progam pengayaan sumber perikanan darat yang akan dilaksanakan.

Ruzaidi menunjukkan benih ikan yang dilepaskan kepada Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Sean Keong.

"Lokasinya adalah sungai-sungai utama yang menjadi tumpuan aktiviti nelayan darat," katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Pelepasan Benih Ikan di Sungai Cacing, Tasik Kenyir, semalam.

Program berkenaan diadakan sempena pembukaan Sungai Cacing bagi aktiviti memancing oleh Taman Negara Terengganu dan Jabatan Perhilitan Negeri Terengganu.

Tambah beliau, pihaknya akan berusaha mencapai sasaran pelepasan 350 ribu benih ikan sebagaimana dirancang pada tahun ini.

"Hasil program ini kita telah lihat dalam tempoh setahun dua ini, berlaku peningkatan pendaratan hasil perikanan yang direkodkan nelayan darat kita.

"Tahun lepas, kita berjaya mendaratkan 190 tan metrik berbanding 160 tan metrik pada tahun sebelumnya," katanya.

Dalam pada itu, Ruzaidi turut mengharapkan kerjasama orang ramai bagi mengekalkan kelestarian sumber perikanan darat negeri dengan mengelakkan penggunaan kaedah terlarang ketika menangkap ikan.

"Nasihat kita, supaya jangan menangkap ikan dengan kaedah terlarang terutama menggunakan peralatan elektrik, senapang ikam dan sebagainya.

"Aktiviti ini boleh menjadikan kepupusan sumber ikan sangat ketara.

Selain itu, berdasarkan Kaedah Perikanan Sungai 1988, sebarang aktiviti menangkap ikan secara terlarang boleh dikenakan tindakan sewajarnya," ujarnya.

 

 

 

 

 

 

 

 


Tag: