• 09 Mei 2024 | 1 Zulkaedah 1445

248 Notis Dikeluarkan Sepanjang Ops Catut 8.0

HULU TERENGGANU, 1 Februari -  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengeluarkan  248 notis kepada peniaga peranti elektronik di seluruh negara berhubung harga jualan dan kos barang yag dijual mereka.

Timbalan Menterinya, Dato' Rosol Wahid berkata kesemua notis tersebut dikeluarkan oleh pihak KPDNHEP ketika Ops Catut 8.0 dijalankan sejak 25 Januari sehingga 8 Februari ini bagi menilai sama ada berlakunya elemen percatutan ataupun tidak.

Katanya, ia bagi memantau harga jualan komputer, komputer riba, tablet, mesin pencetak, telefon bimbit dan alat komunikasi terutama perkakasan internet.

"Sebelum ini, pihak kami dah keluarkan sebanyak 130 notis ketika melakukan pemantauan di premis-premis yang berkaitan dan  hari ini jumlah tersebut telah meningkat kepada 248 notis.

"Peniaga yang menerima notis ini diberi tempoh dua hari untuk mengemukakan maklum balas dan maklumat secara terperinci pemborong dan peruncit untuk mengistiharkan harga barang yang mereka beli daripada sumber asal.

“Daripada situ kita dapat nilai sama ada berlakunya elemen percatutan ataupun tidak.

"Kita ingin elakkan manipulasi harga peranti elektronik oleh peniaga susulan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan ke program Prihatin Mart di Dataran Kuala Telemong, hari ini.

Tambahnya, notis itu dikeluarkan kepada peniaga mengikut Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.

Justeru itu, orang ramai yang membuat pembelian barangan elektronik dan aksesori komputer menyimpan resit pembelian dan membuat laporan kepada pihak KPDNHEP sekiranya berlaku peningkatan harga yang tidak munasabah untuk tindakan susulan.

 

 


Tag: