• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

25 Peratus Pelancong Asing Dijangka Ke Terengganu

BESUT, 1 November - Kerajaan negeri menjangkakan 20 hingga 25 peratus pelancong dari luar negara akan mengunjungi negeri ini sebaik sahaja sempadan negara  dibuka.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, setakat ini pelancong tempatan telah menyumbang 80 peratus kepada sektor berkenaan di negeri ini.

"Jangkaan peratusan kehadiran pelancong asing akan datang ke Terengganu kerana gelembung pelancongan antarabangsa bukan sahaja melibatkan Pulau Langkawi tetapi membabitkan seluruh negara.

"Sebagai persediaan untuk menerima kedatangan pelancong kita kita telah turun ke setiap daerah dengan memperuntukkan sebanyak RM1 Juta bagi mengindahkan produk-produk pelancongan sedia ada dan produk pelancongan berteraskan komuniti (CBT) di 39 lokasi di seluruh negeri pada tahun ini," ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Pengindahan Produk-Produk Pelancongan Daerah Besut, di Homestay Kampung Kayu Kelat, di sini, semalam.

Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri telah mengenalpasti lima CBT masing-masing di Felda Selasih, Mukim Kerandang, Kampung Kubang Depu, Kampung Kayu Kelat serta Pulau Perhentian.

Dalam perkembangan berbeza, bakat semula jadi Saufi Mohd Isa atau lebih dikenali sebagai 'Wok Yoh' yang terkenal menerusi sketsa animasi dan wayang kulit, Ariffin berkata kerajaan akan memanfaatkan kebolehannya untuk dijadikan sebagai salah satu daya tarikan negeri.

"Dengan keistimewaan yang ada padanya dan mempiunyai pengikutnya yang tersendiri, insya-Allah kami akan berbincang dan menilai bagaimana hendak mempromosikan apa yang diusahakan oleh Saufi dalam menjadikan negeri ini lebih dikenali ramai di peringkat antarabangsa," katanya lagi.


Tag: