• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

250 Peserta Sahut Cabaran Di Kejohanan Payung Terjun ATM 2017, 22-30 September Ini




Kerajaan negeri dengan kerjasama Malaysia Armed Forces Parachute Association (MAFPA) serta Malaysia Parachute Association (MYPA) bakal menganjurkan Kejohanan Payung Terjun Angkatan Tentera Malaysia (3rd Terengganu Challenge 2017) yang akan berlangsung di Perkarangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak, Kuala Nerus bermula 22 hingga 30 September ini.

Sekretariat program, Kapten Amar Abd Aziz berkata, penganjuran melibatkan beberapa kategori itu turut disertai negara luar termasuk pasukan-pasukan tentera.

“Seramai 250 peserta yang terdiri daripada anggota Tentera Darat, Tentera Udara dan Tentera Laut Malaysia termasuk 40 peserta daripada Bahrain, China dan Indonesia.

“Pada kejohanan kali ini, empat kategori dipertandingkan iaiatu ‘Accuracy Sport’, ‘Accuracy Military’, ‘Formation Skydiving’ dan ‘Canopy Formation Skydiving’ dengan menawarkan anggaran hadiah keseluruhan berjumlah USD10,000,” katanya.


Beliau ditemui pemberita pada sidang media sempena Kejohanan Payung Terjun Angkatan Tentera Malaysia (3rd Terengganu Challenge 2017) di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.

Amar berkata, selain daripada memperkenalkan sukan payung terjun di kalangan rakyat setempat, ia juga dijadikan sebagai salah satu platform memperkenalkan produk dan destinasi pelancongan.

Tambahnya, pelbagai acara sampingan turut dijalankan bagi menarik orang ramai dan peminat sukan ekstrim itu sepanjang kejohanan di Perkarangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu nanti.

“Pada 22 dan 23 September, kami mengadakan pertunjukan tempur tanpa senjata manakala pada 28 dan 29 September pula diadakan kawad senyap oleh pasukan tentera.

“Selain itu, kami turut mengadakan pameran statik aset Tentera Darat, pameran kerjaya bersama Angkatan Tentera Malaysia serta sesi pengambilan perajurit muda Tentera Udara,” katanya.

Dalam pada itu, Amar berharap agar orang ramai dapat meluangkan masa mengunjungi tapak kejohanan untuk menyaksikan sendiri kelainan serta kejutan yang bakal dipertontonkan nanti.

Tag: