• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

2,561 RMM Dibina Secara Penswastaan

KUALA TERENGGANU, 7 Oktober - Sebanyak lima lokasi pembinaan membabitkan 2,561 unit kediaman Rumah Mampu Milik (RMM) diluluskan sejak Dasar Pembangunan Perumahan melalui penswastaan diperkenalkan pada September 2019.

Kawasan itu adalah Kampung Bukit Cina, Pasir Akar, Hulu Besut, melibatkan 356 unit kediaman, Tembila, Mukim Dendong (940 unit RMM) dan kemudahan itu dibina Wanland Metro Sdn. Bhd.

Manakala RMM di Kampung Teluk Kalong, Kijal, Kemaman (601 unit) oleh Arus Juta Sdn. Bhd, Kampung Bintang, Mukim Guntong, Setiu (375 unit RMM) - Hunson Contruction Sdn. Bhd dan Kampung Baru Kuala Abang, Dungun sebanyak 289 unit RMM diurus oleh Koperasi Permodalan Sahabat Terengganu Berhad

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, dasar baharu lebih bersifat ‘win-win situation’ di mana setiap perancangan pembangunan perumahan perlu mempunyai 20 peratus  RMM milik A dan 30 peratus RMM milik B.

“Manakala 50 peratus  lagi terpulang kepada pemaju untuk membina rumah sebagaimana perancangan.

“Dasar ini memberi keselesaan dan kelegaan kepada pemaju dan juga pelabur agar lebih berminat untuk datang melabur dalam sektor pembangunan perumahan di  Terengganu,” katanya ketika dihubungi pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman.

Menurutnya dasar itu juga akan mewujudkan identiti baharu bagi RMM jenis A yang telah ditambah baik daripada beberapa aspek dari sudut reka bentuk dan tambahan garaj bagi mewujudkan keseragaman serta kemudahan kepada penghuni.

“Reka bentuk baharu ini lebih patuh syariah atau bercirikan Islamik kerana tiga bilik tidur dan ruang makan akan dibina di ruang berasingan daripada ruang keluarga. Oleh itu kedatangan tetamu tidak akan mengganggu aktiviti tuan rumah.

“Bahagian tandas dengan bilik mandi akan dipasang penghadang bagi menjaga kebersihan ketika berwuduk sementara rumah juga akan ditambah dengan garaj kereta sebagai satu lagi proses penambahbaikan rumah,” katanya

Menurutnya,  pihaknya mendapati dasar penswastaan lama diperkenalkan pada 2017 tidak membolehkan pihak pemaju (swasta) bergiat secara aktif dalam pembinaan RMM sekali gus membantutkan hasrat kerajaan untuk menyediakan lebih banyak perumahan mampu milik kepada rakyat.

“Malah melalui dasar perumahan sebelum ini juga tidak ada satu pun pemaju berminat membina RMM di Terengganu kerana beberapa peraturan membebankan seperti kadar sumbangan 10 hingga 20 peratus nilai pembangunan kasar (GDV) rumah kepada Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT)," jelasnya.

Dasar baru ini juga telah menetapkan harga baharu bagi RMM Jenis A iaitu sebanyak RM80,000 seunit berbanding harga lama RM68,000 seunit sebelum ini. Faktornya  kenaikan kadar upah buruh, harga bahan binaan dan rumah lebih menarik kerana mempunyai garaj.

 


Tag: