28 Guru PASTI Kuala Besut Terima Sumbangan

BESUT, 10 Mac - Dalam meraikan bulan Ramadan yang diberkati, seramai 28 orang guru Pusat Asuhan Tunas Islam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut telah menerima sumbangan daripada ADUN setempat, Azbi Salleh.

Menurutnya sumbangan itu disampaikan dalam satu majlis iftar yang diadakan di Kedai Makan Rumbia, Kampung Raja, semalam sebagai menghargai jasa dan pengorbanan guru-guru yang berkhidmat di lapan buah PASTI dalam kawasan terbabit.

"Sumbangan yang diberikan ini adalah sebagai tanda penghargaan kepada guru-guru yang telah berusaha keras dalam mendidik anak-anak di DUN Kuala Besut.

"Majlis ini bukan sahaja menjadi platform untuk berbuka puasa bersama, tetapi ia juga merupakan ruang untuk berkumpul dan saling bertukar pandangan mengenai perkembangan pendidikan PASTI.

"Kita melihat para guru begitu teruja dan bersemangat menerima sumbangan ini, yang diharapkan dapat membantu mereka dalam menjalankan tugas mendidik dengan lebih baik,"katanya.

Beliau berkata demikian semasa menghadiri majlis iftar ini  yang turut dihadiri oleh Pegawai Khas ADUN Kuala Besut,Mohd Sulaiman, Pengerusi PASTI Kawasan Besut, Muhammad Himli Hamdan di sini semalam.

Dalam pada itu, Azbi mengharapkan agar guru-guru PASTI akan terus bersemangat menjalankan amanah dengan penuh dedikasi.

"Demi mendidik anak-anak bangsa serta memperkukuhkan hubungan antara pemimpin dan pendidik di kawasan ini,"ujar beliau.

 


Tag: