• 16 Apr 2024 | 7 Syawal 1445

2,820 Wanita Terengganu Terima Manfaat WCaRe

KUALA NERUS, 29 Mei - Seramai 2,820 wanita negeri ini menerima manfaat melalui Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita (WCaRe) sempena Sambutan Hari Ibu peringkat negeri pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, kesemua penerima tersebut akan menerima peruntukan sehingga RM200,000 untuk menjalani saringan HPV DNA bagi mengesan kanser serviks dan mammogram untuk pengesanan awal kanser payudara.

"Kempen pada kali ini Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah mempakejkan gerak promosi dengan mengabungkan dua perkhidmatan iaitu Program Subsidi Mamogram dan Pemeriksaan Papa Smear.

"Ia bertujuan untuk memberi pengetahuan dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan wanita, dengan fokus utamanya adalah kepada aspek pencegahan kanser reproduktif di kalangan wanita pada peringkat awal," ujarnya.               

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Ibu Peringkat Negeri Terengganu dan Kempen Kesedaran dan WCaRe, di Taman Tasik Kuala Nerus, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengarah LPPKN, Muhamad Noh Abdullah dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan W\anita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Alias Harun.

Mengulas lanjut, Hanafiah berkata pengesanan awal boleh menyelamatkan nyawa, justeru beliau menyeru kepada semua kaum ibu dan wanita Terengganu agar menjalni ujian saringan terbabit.

"Saya turut difahamkan LPPKN telah beranjak kepada kaedah 'Liquid Base Cytology (LBC) secara spesifik, rapi dan mudah di mana klien sendiri melakukannya dengan tunjuk ajar daripada jururawat terlatih.

"Kaedah ini sudah tentu lebih mudah, dan langkah diperkenalkan ini menjadi pilihan ramai terutama kepada wanita yang masih berasa malu untuk melakukan ujian sebagaimana sebelum ini. 

"Perkhidmatan ini disediakan secara percuma di tiga buah Klinik Nur Sejahtera (KNS) LPPKN di Kuala Terengganu, Dungun dan Besut,"ujarnya.

Mengenai sambutan hari ibu peringkat negeri itu, jelasnya sangat bermakna kerana pada tahun ini dapat disambut secara fizikal.

"Kasih Ibu Selamanya, itulah tema yang dipilih untuk sambutan pada tahun ini, untuk mengajak pelbagai lapisan masyarakat untuk menghargai dan memberi tumpuan kepada peranan ibu dan bapa dalam memastikan keluarga terus sejahtera, terutamanya dalam kesihatan mental dan keselamatan keluarga agar kekal harmoni walaupun berdepan pelbagai cabaran.

"Kesejahteraan keluarga bermula dengan ikatan kasih sayang yang erat daripada seorang ibu dan disusuli dengan kepimpinan unggul oleh seorang bapa, kedua-duanya merupakan tunggak kekuatan bersama dalam sesebuah keluarga,"ujarnya.

Untuk rekod Program sambutan hari ibu pada kali ini telah berjaya mengumpulkan 300 kaum ibu beserta ahli keluarga dari seluruh negeri dengan pelbagai pengisian aktiviti seperti pemeriksaan kesihatan oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Terengganu, senaman tai chi batik, demo makanan sihat, sudut bergmbar bersama ibu.

Antaranya lagi ialah permainan keluarga, pertandingan untuk ibu dan anak serta kembara kaunseling dan juga Mama Care.