• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

30 Tahun Menumpang, Kini Miliki Rumah Sendiri

DUNGUN ,17 Disember- Impian Daud Jusoh untuk memiliki rumah sendiri setelah 30 tahun menumpang di atas tanah orang akhirnya menjadi kenyataan apabila terpilih untuk menerima bantuan rumah melalui Projek Perumahan Terengganu Sejahtera (PPTS).

Daud yang sebelum ini seorang nelayan tetapi kini sudah tidak bekerja memandang  kesihatannya tidak mengizinkan menyifatkan rezeki dari Allah itu sangat tepat pada masanya.

"Saya bersyukur kerana rumah ini siap dan diserahkan kepada saya masa tuan tanah dah nak ambil tanah miliknya," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Projek Perumahan Terengganu Sejahtera oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun di Kampung Rhu Batil di sini.

Sementara itu, seorang lagi penerima bantuan berkenaan yang bekerja sebagai tukang rumah Mohd Suhaimie Wahab, 37,  berterima kasih kepada kerajaan negeri yang cakna dengan keperluan rakyat. 

"Saya sudah menyewa banyak rumah dan kali terakhir saya menumpang di rumah tok ki saya, alhamdulillah hari ini saya memiliki rumah sendiri di atas tanah sendiri, terimakasih YB Cikgu Alias," ujar ayah kepada tiga orang anak itu.

Sementara itu , Alias Harun memberitahu, kerajaan Terengganu telah menambah peruntukan untuk PPTS di dalam menyediakan rumah patuh syariah. 

"Sebelum ini RM40, 000 seunit tetapi sekarang kerajaan tambah kepada RM56 000, sebelum ini dua bilik tidur tetapi rumah patuh syariah ada tiga bilik  tidur, satu bilik mandi dan satu bilik air," jelasnya.


Tag: