• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

3,000 Rakyat Terengganu Takluk Bukit Seluruh Negeri

Ariffin Deraman (dua dari kiri) bersama pihak penganjur. Foto oleh - Abu Ubaidah
KUALA TERENGGANU, 28 April - Lebih 3,000 warga Terengganu menakluki lapan bukit di seluruh negeri secara serentak bagi mempromosikan lokasi rekreasi di Hari Mendaki Bukit Terengganu atau Terengganu Hills Day (THD) 2019 semalam.

Lokasi lain yang menjalankan program itu termasuk Bukit Harimau Menangis di KemamanBukit Bauk di DungunBukit Batu Singa di MarangBukit Besar di Kuala Terengganu, Bukit DO, Hulu TerengganuBukit Jong dan Bukit Maras di Kuala Nerus serta Bukit Keluang di Besut.


Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman, aktiviti yang julung kalinya diadakan itu menawarkan pilihan kepada rakyat tempatan untuk beriadah di bukit-bukit sekitar kawasan mereka.

Jelasnya, program itu juga dapat memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai pentingnya menjaga alam sekitar selain merupakan aktiviti kesihatan.

“Alhamdulillah di Bukit Besar, lebih 500 orang yang turut serta dalam program ini dan seluruh Terengganu yang ada lapan daerah, saya difahamkan penyertaan lebih 3,000 orang.

“Program ini sangat bagus kerana membantu orang ramai tidak kira lapisan umur untuk kekal sihat,” ujarnya.

Beliau turut berharap agar program itu dijadikan acara tahunan bersama kerajaan negeri pada masa akan datang demi merancakkan suasana pelancongan dan sukan rekreasi negeri itu.

“Saya mengharapkan kepada pihak penganjur (BB Hikers) dan seluruh kumpulan lain seluruh negeri supaya menjadikan acara ini sebagai acara tahunan," jelasnya.

Tag: