• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

303 Orang Mangsa Banjir Gugusan Ketengah Jaya Berada Di PPS

DUNGUN, 25 Disember - Seramai 303 daripada 55 keluarga di Gugusan Ketengah Jaya dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Felda Kerteh 4 di Dewan Semai Bakti FK4 setakat 11 malam tadi disebabkan banjir gelombang ketiga yang melanda daerah ini. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, Dato’ Satiful Bahri Mamat berkata, mangsa yang ditempatkan di PPS itu terdiri daripada penduduk yang terjejas banjir di empat Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) iaitu JPKK Felda Kerteh 1, JPKK Felda Kerteh 4, JPKK Felda Kerteh 4A dan JPKK Ketengah Jaya.

“Mangsa banjir yang paling ramai ditempatkan di PPS ini ialah daripada JPKK Felda Kerteh 4 dengan menempatkan 136 orang terdiri daripada 28 keluarga,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika membuat tinjauan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Felda Kerteh 4 di Dewan Semai Bakti Felda Kerteh 4.

Katanya, trend air di kawasan tersebut semakin menurun setakat malam semalam.

“Apa yang kita bimbang ialah perkara sebegini akan berlaku lagi jika keadaan cuaca masih lagi hujan berterusan.

“Apa pun kita doakan agar keadaan cuaca semakin baik, dijauhkan daripada perkara tidak diingini dan dupermudahkan urusan mereka yang terlibat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam membantu mangsa banjir dengan cepat.

“Sokongan dari masyarakat juga yang saling tolong menolong antara satu sama lain sama ada secara langsung atau tidak langsung, amat dihargai,” jelasnya.


Tag: