KUALA TERENGGANU, 10 November – Sebanyak 316 syarikat di Terengganu kini memiliki sijil halal yang diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melibatkan pelbagai skim dan sektor perniagaan.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato' Ariffin Deraman berkata, daripada jumlah itu, 178 syarikat melibatkan produk makanan, diikuti premis makanan (91), pengilangan kontrak atau OEM (22), barang gunaan (15), rumah sembelih (6) dan kosmetik (4).
“Daerah Kuala Terengganu mencatat jumlah tertinggi dengan 77 syarikat, diikuti Kemaman (63), Dungun (48), Marang dan Kuala Nerus masing-masing (35), Besut (31), Hulu Terengganu (18) serta Setiu (9),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Mohd Noor pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kelima Belas (Bajet) di sini hari ini.
Menurut Ariffin, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) melalui Bahagian Pengurusan Halal turut menyediakan bimbingan menyeluruh kepada para pemohon sijil halal melalui pelaksanaan Klinik My e-Halal yang diadakan secara berkala di setiap daerah.
“Selain itu, JHEAT juga bekerjasama dengan pelbagai agensi seperti Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), RISDA, dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar bagi membantu mempercepat dan memantapkan proses permohonan.
“Kita juga memberikan tauliah penyembelih kepada individu yang bekerja di premis penyembelihan berdaftar bagi memastikan semua proses memenuhi piawaian halal,” katanya.