• 30 Apr 2024 | 21 Syawal 1445

35 Anggota Bomba Padam Kebakaran Kebun Sawit


Oleh: Hidayah Azlin

SETIU, 22 Mac -  Seramai 35 anggota bomba bertugas dalam operasi memadam kebakaran kebun sawit Kampung Anak Ikan, Jabi yang berkeluasan kira-kira 20 hektar sejak dua hari lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, operasi berdepan sedikit kesukaran kerana tanah di kawasan kejadian adalah jenis gambut yang dalam.


“Yang menjadi masalah di sini adalah kerana  struktur tanah yang terdiri daripada tanah gambut sedalam lebih satu meter. Kalau kita tengok macam tiada api tapi sebenarnya api sedang merebak pada bahagian bawah tanah.

“Alhamdulillah.. semalam kira-kira lapan hektar telah berjaya dipadamkan manakala hari ini pula melibatkan tujuh hektar lebih dan tujuh hektar lebih lagi yang masih berlaku kebakaran,” ujarnya lagi.

Beliau berkata demikian ketika melawat kawasan dan menemui anggota bomba yang bertugas di lokasi kejadian itu, semalam.

Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, operasi itu melibatkan anggota dari Balai Bomba Dan Penyelamat Jerteh, Kampung Raja dan Wakaf Tapai.

Tambah beliau, usaha pemadaman itu dijangka akan berlanjutan sehingga dalam tempoh lima hari lagi.

“InsyaAllah Pejabat ADUN Jabi akan cuba santuni rakan-rakan bomba yang berkorban masa dan tenaga untuk melaksanakn tugas mereka.

‘’Manakala, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Anak Ikan Dalam, Anak Ikan dan Perumahan Kos Awan Rendah (PAKR) akan mengambil tanggungjawab untuk penyediaan makanan kepada abang bomba sepanjang operasi yang dijangka berlanjutan lima hari lagi,"katanya.

Beliau juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada anggota bomba yang gigih berkhidmat dan jasa mereka amat besar kepada semua.

Tag: