Terengganu, TNB Genco Meterai Perjanjian Optimum Sumber Hidro
35 Pengerusi JPKK DUN Wakaf Mempelam Terima Watikah Pelantikan
KUALA TERENGGANU, 5 Mac- Seramai 35 pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) DUN Wakaf Mempelam bagi penggal 2025/2026 telah menerima watikah pelantikan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah dalam satu majlis rasmi yang diadakan hari ini.
Dalam ucapannya, Wan Sukairi menegaskan bahawa JPKK memainkan peranan penting sebagai penghubung utama antara kerajaan dan rakyat di peringkat akar umbi.
"Justeru, JPKK perlu memastikan setiap aduan serta keperluan penduduk dapat disampaikan kepada pihak berwajib bagi tindakan lanjut.
"Kepimpinan JPKK perlu sentiasa bersikap proaktif, berfikiran terbuka serta mengutamakan semangat kerja berpasukan bagi memastikan setiap inisiatif yang dirancang dapat dilaksanakan dengan jayanya," katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri turut berharap agar barisan JPKK yang dilantik dapat menjadi satu pasukan yang berdaya saing, efektif, dan bertanggungjawab dalam membangunkan komuniti setempat.
"Tugas JPKK ini juga adalah sebagai wakil kepada saya selaku ADUN. Tidak semua keperluan penduduk kampung dapat saya bantu secara langsung. Namun, dengan adanya JPKK, urusan wakil rakyat akan menjadi lebih mudah. Jika sesuatu perkara tidak dapat diselesaikan di peringkat JPKK, barulah ia dirujuk kepada wakil rakyat," jelasnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa jawatan yang diamanahkan ini bukan sekadar tanggungjawab pentadbiran, tetapi juga satu bentuk ibadah.
"Jawatan ini adalah ladang pahala yang perlu kita manfaatkan sebaik mungkin dengan membantu dan mempermudahkan urusan penduduk kampung," tambahnya.
Selain majlis pelantikan, turut diadakan penyerahan kit jenazah kepada semua JPKK sebagai sebahagian daripada usaha memperkasakan peranan mereka dalam masyarakat serta meringankan beban keluarga yang kehilangan insan tersayang.
"Kit jenazah ini merupakan pemberian tahunan pihak DUN. Walaupun tiada siapa yang menginginkannya kecuali mereka yang benar-benar memerlukan, hakikatnya inilah pakaian terakhir kita nanti. Saya berharap sumbangan sebanyak lima unit kit jenazah ini dapat membantu keluarga yang menghadapi kesulitan, lebih-lebih lagi dalam keadaan kos pengurusan jenazah yang semakin meningkat,"katanya.