• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

350 Fakir Miskin Terima Sumbangan

KEMAMAN, 19 November - Seramai 350 orang fakir miskin menerima sumbangan berbentuk beras dan barangan dapur dalam Program Hatiku Bersamamu yang berlangsung di pekarangan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Cukai, kelmarin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat berkata majlis tersebut diadakan bagi memastikan sumbangn yang diberikan dapat meringankan bebanan sebahagian fakir miskin yang tinggal di kawasannya itu.

"Saya memahami keadaan yang sedang dialami oleh rakyat ketika ini. Apatah lagi kita sekarang berada di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan ditambah pula dengan tibanya musim tengkujuh. Sudah tentu sedikit sebanyak ia menjejaskan pendapatan sebahagian daripada mereka ini. Oleh yang demikian, kita mengadakan program ini pada hari ini," ujarnya.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri itu turut menjelaskan, majlis itu diadakan secara ringkas serta mematuhi garis panduan yang ditetapkan seperti memakai pelitup muka, penjarakan sosial dan tidak bersentuhan.

"Penyerahan sumbangan pula berlangsung secara berperingkat dimana kita mula mengagihkannya sejak pagi sehingga selesai pada waktu tengahari. Ia dilaksanakan sedemikian bagi memastikan penerima sumbangan tidak berkumpul di sini dalam jumlah yang sangat ramai," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika ditemui selepas selesai majlis tersebut.


Tag: