Jalur Gemilang
Berita :
356 Graduan SPAIT Tamat Pengajian Selepas Enam Tahun
356 Graduan SPAIT Tamat Pengajian Selepas Enam Tahun
Noraini Jusoh
1 jam yang lepas
48

KUALA NERUS, 15 September – Seramai 356 graduan Program Sijil Pengajian Agama Islam Terengganu (SPAIT) Kumpulan Ketiga diraikan selepas berjaya menamatkan pengajian selama kira-kira enam tahun.

Majlis graduasi yang berlangsung di Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Watiqul Billah hari ini diserikan dengan keberangkatan Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin.

Baginda turut berkenan mengurniakan sijil kepada para graduan.

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dalam ucapan aluannya merakamkan penghargaan kepada graduan atas kegigihan dan komitmen mereka sepanjang mengikuti pengajian.

Menurut beliau, graduan perlu melalui tiga peringkat pengajian iaitu ibtidai (permulaan), mutawassit (pertengahan) dan mutaqaddim (lanjutan).

“Enam tahun bukanlah suatu tempoh singkat yang menuntut mereka melalui pelbagai cabaran sambil membahagikan masa antara pekerjaan, keluarga dan pengajian.

“Alhamdulillah, SPAIT terus menjadi antara usaha penting dalam memperkukuh pendidikan Islam di Terengganu khususnya dalam melahirkan insan berilmu dan berakhlak,” katanya.

Ahmad Samsuri turut menzahirkan penghargaan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) yang terus memberikan komitmen terhadap pelaksanaan program berkenaan.

Penghargaan sama turut diberikan kepada tenaga pengajar SPAIT, warga kerja Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) serta semua pihak yang terlibat memastikan program itu terus dilaksanakan.

“Buat para graduan, sekali lagi saya mengucapkan tahniah. Teruskan usaha menuntut ilmu, memperbaiki diri serta berbakti kepada masyarakat selepas menamatkan pengajian,” katanya.

SPAIT yang bermula pada 2011 ditawarkan JHEAT dengan kerjasama MAIDAM kepada rakyat Terengganu berusia 25 tahun ke atas.

Sistem pembelajaran program bersijil itu mengadaptasi konsep Kelas Agama Dewasa dan Kelas Malam yang pernah dilaksanakan pada 1960.

Program berkenaan menawarkan tiga subjek iaitu Tauhid, Feqah dan Tasawuf, manakala kelas diadakan pada hujung minggu iaitu setiap Jumaat dan Sabtu.

Selepas hampir 15 tahun dilaksanakan, penambahbaikan terhadap tempoh pengajian dibuat bermula sesi akademik Kumpulan Keenam pada 2026.

Tempoh pengajian bagi setiap tahap dipendekkan kepada satu tahun setengah, menjadikan keseluruhan tempoh bagi ketiga-tiga tahap selama empat tahun setengah berbanding kira-kira enam tahun sebelum ini.

Penambahbaikan itu dibuat bagi memastikan pelaksanaan dan kualiti kelas pengajian SPAIT terus disesuaikan dengan keperluan semasa.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan