• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

356 Rumah Di Semayor, Kerteh Jaya Dijual Pada Harga RM80,000

KUALA TERENGGANU, 23 Februari - Sebanyak 356 unit rumah mampu milik (RMM) yang bakal dibina di Kerteh Jaya dan Kampung Semayor, Kemaman, dijual pada harga RM80,000 kepada rakyat.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, walaupun kos pembinaan sebuah rumah terbabit bernilai kira-kira RM140,000, pembeli akan mendapat keuntungan sehingga RM60,000 dalam pelaksanaan projek berkenaan.

“Harga jualan itu merupakan harga subsidi daripada Ireka Corporation sendiri di samping kerajaan negeri turut menerima pulangan sebanyak 34.720 juta iaitu pada kadar 7.89 peratus.

“Ini merupakan projek pertama tahun ini yang dilaksanakan secara hybrid (pembangunan di dua lokasi berbeza dalam daerah sama) dengan pembangunan selama enam tahun. 

“Ia bakal bermula pertengahan Julai ini dan dijangka siap pada tahun 2028 melibatkan tiga fasa,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama Cadangan Projek Pembangunan Perumahan Mampu Milik dan Bercampur secara Penswastaan di Wisma Darul Iman, hari ini. 

Hadir sama, Tengku Seri Bijaya Raja Setiausaha Kerajaan Negeri, Ahli Parlimen Kemaman; Che Alias Hamid, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT); Wan Adnan Wan Derahman dan Pengarah Urusan Ireka; Mohd Hasnul Ismar Mohd Ismail.

Jelasnya, pembinaan tersebut merupakan sebahagian daripada 1,716 unit rumah yang melibatkan kos sebanyak RM468 juta hasil usaha sama kerajaan negeri melalui Kumpulan PMINT dan Kumpulan Ireka Corporation Berhad.

Pembinaan berkenaan melibatkan kawasan berkeluasan 200 ekar di Kerteh Jaya, 11.55 ekar di Kampung Semayor.

Setakat ini, kerajaan negeri telah membina 18,619 unit rumah pelbagai kategori bersamaan 93.10 peratus dalam usaha merealisasikan manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 untuk membina 20,000 unit RMM.

Selain itu, seramai 330 individu telah dipilih bagi menerima manfaat Tabung i-RAHMAN yang diluluskan sebanyak RM17 juta tahun lalu.

“Tahun ini pula, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM30 juta bagi Tabung i-RAHMAN permohonannya akan ditutup 28 Februari ini,” katanya.

 


Tag: