• 24 Okt 2024 | 21 Rabiul Akhir 1446

360 Pelajar PT3 Sertai Program Latihan Akademik ECER


Seramai 360 pelajar yang bakal menduduki Pentafsiran Tingkatan 3 (PT3) terpilih menyertai program Latihan Akademik Empower Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) 2016, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri, A. Latiff Awang berkata, program melibatkan pelajar dari empat daerah tersebut merupakan mereka yang mempunyai potensi untuk menjadi pelajar cemerlang.

“Pada hari ini (semalam) seramai 360 pelajar dipilih daripada empat buah daerah iaitu Kemaman, Dungun, Marang dan Hulu Terengganu.

“Program ini memfokuskan kepada pelajar yang kurang berkemampuan tetapi mempunyai potensi untuk cemerlang dalam peperiksaan PT3 tidak lama lagi,” katanya kepada Teganukita.


Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Latihan Akademik Empower ECER 2016 di Universiti Sultan Zainal Abidin, Kuala Nerus, semalam.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Shafruddin Ali Hussin, Naib Cancelor Unisza, Dr Ahmad Zubaidi A. Latif dan Pengurus Unit Agropolitan Bahagian Pembangunan Modal Insan ECERDC, Izane Ismail.

Tambahnya, sejak dijalankan bermula 2011, seramai 6,946 pelajar kurang berkemampuan yang mempunyau potensi di Terengganu telah mengikuti program itu.

“Program ini bukan hanya difokuskan kepada pelajar-pelajar PT3 sahaja, malah ianya turut dijalankan kepada pelajar Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan juga Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM),”katanya.

Tag: