• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

3,700 Kilogram Ikan QFish Diagih Kepada Penduduk Kota Putera

BESUT, 2 Mac - Kira-kira 3,700 kilogram ikan QFish diagih kepada golongan terjejas ekoran Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera. 

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, memahami situasi rakyat yang terkesan, pihaknya turun padang menghantar sumbangan ikan Qfish kepada 37 Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) di DUN terbabit.

"Setiap JPKK dibekalkan 100 bungkusan yang mana setiap bungkusan itu seberat satu kilogram diagih kepada penduduk yang kurang berkemampuan.

"Ikan QFish yang dibekalkan ini merupakan produk dari Persatuan Nelayan Besut. Kita seharusnya berbangga kerana produk QFish ini dikeluarkan oleh Persatuan Nelayan Besut yang memiliki kilang antara yang tercanggih di Malaysia," ujarnya kepada pemberita semasa turun padang menyantuni penduduk kampung.

Katanya, sumbangan berkenaan dibuat secara berperingkat mengikut giliran kawasan masing-masing. Alhamdullilah baki 20 JPKK yang belum sempat diagihkan hari khamis lalu selesai diagihkan kelmarin.

"Selaku ADUN Kota Putera,berharap sumbangan yang dihulurkan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban kepada mereka yang terjejas dalam tempoh PKPB ini.

"Jutaan terima kasih diucapkan kepada petugas yang sentiasa komited dalam membantu Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Kota Putera bagi melancarkan setiap agihan yang kita lakukan. Mudah-mudahan Allah SWT memudahkan segala urusan terutama para asnaf dan memberkati usaha kecil ini," ujarnya.

 


Tag: