• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

40 Media Antarabangsa Lawat Terengganu

Ariffin Deraman.
KUALA TERENGGANU, 25 September - Dalam usaha mempromosi destinasi serta produk pelancongan tempatan seramai 40 wakil media antarabangsa seluruh dunia akan dibawa melawat Terengganu dalam Program Pembelajaran Media dan Agensi Pelancongan (Famtrip) bermula 23 hingga 27 Oktober depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, kehadiran mereka turut disertai media utama, pelancongan serta blogger terkenal daripada Eropah, Australia, Jepun dan China.

Jelasnya, wakil-wakil media itu akan dibawa melawat beberapa lokasi pelancongan utama seperti Taman Tamadun Islam (TTI), jambatan angkat dan muzium agar mereka dapat mempromosi tempat-tempat tersebut melalui akhbar, laman sosial atau blog masing-masing.

“Famtrip sebagai satu cara kita mempromosikan Terengganu di peringkat dunia, secara tidak langsung orang luar lebih tahu tentang negeri ini dan berminat ke sini.

“Setakat ini kita jemput 40 orang dan mereka ini ada daripada akhbar, majalah pelancongan dan sebagainya yang sesuai untuk kita promosi produk pelancongan kita,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Muzik Gamelan Melayu Sekolah-Sekolah Terengganu, di sini semalam.

Dalam pada, Ariffin berkata, kedatangan musim monsun yang bermula Oktober ini dijangka tidak akan menjejaskan kedatangan pelancong ke negeri ini.

Ini kerana katanya, Terengganu mempunyai tarikan lain selain pulau-pulau yang biasa dikunjungi pelancong.

“Kita sedang tingkatkan promosi bagi menarik mereka ke sini, seperti di Kenyir kita ada jalankan ‘monsoon casting’ dan jambatan angkat (drawbridge) pula kita dah buka galeri kepada orang ramai.

“Walaupun pulau-pulau ditutup ia tidak menjejaskan jumlah pelancong terutama pada musim cuti sekolah akhir tahun yang biasanya lebih meriah dengan pelancong dari luar Terengganu,” tambah beliau.



Tag: