42 Pelajar Cemerlang SPM Diraikan

HULU BESUT, 27 Mei – Seramai 42 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 diraikan dalam Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang DUN Hulu Besut yang berlangsung dengan penuh meriah dan bermakna.

Majlis yang diadakan bagi menghargai pencapaian pelajar yang memperoleh keputusan 7A hingga 12A ini turut menyaksikan penyampaian sijil penghargaan dan wang saguhati sebagai tanda pengiktirafan atas kecemerlangan mereka.

Ahli Dewam Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin merakamkan ucapan tahniah kepada semua pelajar cemerlang yang selama ini telah berusaha gigih, menunjukkan ketekunan serta semangat juang yang tinggi sehingga mencapai kejayaan yang membanggakan.

"Saya amat berbangga dengan pencapaian adik-adik kita ini, kejayaan ini adalah hasil kerjasama erat antara pelajar, ibu bapa, guru dan seluruh warga sekolah yang tidak pernah berputus asa memberikan sokongan,"katanya ketika berucap di majlis tersebut yang diadakan di Dewan Warung Ramai, Alor Keladi, di sini.

Dalam pada itu,penghargaan khas turut diberikan kepada pelajar istimewa, Surya Aidil Zawawi dari kelas Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) SMK Putra, yang mencatat pencapaian membanggakan apabila berjaya memperoleh 4A dalam peperiksaan tersebut.

"Pencapaian adik Surya Aidil adalah luar biasa dan wajar dijadikan inspirasi kepada kita semua,"ujar beliau.

Dalam pada itu, Husaimi turut menyeru para pelajar agar terus berusaha dan berdoa untuk mencapai kejayaan lebih besar di masa hadapan, sambil menekankan pentingnya menjadi insan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga berakhlak mulia serta memberi manfaat kepada masyarakat.