KUALA TERENGGANU, 30 Januari - EPIC Berhad meneruskan komitmen berterusan terhadap kelestarian alam sekitar menerusi penganjuran siri kedua program tanggungjawab sosial korporat (CSR) EPIC Jom Bersih 2026 yang berlangsung di Pantai Batu Buruk 2, di sini, hari ini.
Program pembersihan pantai itu tadi berjaya mengumpulkan sebanyak 426 kilogram sampah sarap, yang berpunca daripada arus monsun serta sampah yang ditinggalkan secara tidak bertanggungjawab oleh sesetengah pengunjung di kawasan pesisir pantai berkenaan.

Menurut General Manager, Corporate Communication & HSSEQ EPIC Berhad, Rusdi Ngah, program berkenaan merupakan kesinambungan kepada usaha berterusan syarikat sepanjang tahun, bukan sekadar aktiviti bermusim.
"Program ni merupakan program yang kedua kita buat tahun ni, tahun 2026 ni dan kita akan ada seterusnya program sepanjang tahun sebeginilah," katanya ketika ditemui oleh pemberita selepas program tersebut.

"Kalau kita melawat ke pantai-pantai, jadikanlah amalan kita untuk membuang sampah-sampah yang berada di tepi pantai supaya kita sentiasa menjaga kelestarian pantai kita untuk anak cucu kita dan juga kita sendiri," ujarnya.
Dalam pada itu, Rusdi turut menekankan aspek keselamatan pengunjung, khususnya berkaitan pembuangan sampah berbahaya seperti botol kaca di kawasan pantai yang menjadi tumpuan keluarga.
"Sampah-sampah yang mungkin membahayakan kita seperti botol-botol kaca, pantai ni kawasan umum, kawasan awam yang digunakan oleh semua terutamanya keluarga yang bawa kanak-kanak. Kalau ada kaca-kaca tu, cukup bahaya," jelasnya.

EPIC Berhad turut merakamkan penghargaan kepada semua sukarelawan yang terlibat serta menyeru orang ramai agar memanfaatkan kemudahan tong sampah yang disediakan oleh pihak berkuasa tempatan demi memastikan kebersihan Pantai Batu Buruk terus terjamin.