lightning-solid
Berita :
43 Peniaga DUN Tepoh Terima Bantuan Dana Usahawan Terengganu 2025
43 Peniaga DUN Tepoh Terima Bantuan Dana Usahawan Terengganu 2025
Muhamad Fazlee Aziz
13 jam yang lepas
118

KUALA NERUS, 30 Disember – Seramai 43 peniaga dan penjaja di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh menerima bantuan menerusi Dana Usahawan Terengganu (DUTE) 2025 dalam satu sesi pertemuan yang berlangsung pagi kelmarin.

Dalam pertemuan tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim, meluangkan masa bersua muka bersama para penerima bagi menyampaikan sokongan serta kata-kata motivasi kepada golongan peniaga yang menjadi antara tulang belakang ekonomi setempat.

Menurut beliau, bidang keusahawanan bukanlah suatu pekerjaan yang mudah, namun ia menjanjikan keberkatan apabila dilaksanakan dengan penuh amanah dan kejujuran, sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW yang juga pernah menjalankan urusan perniagaan dalam kehidupan Baginda.

“Tiada kejayaan yang hadir secara mendadak. Ia perlu dibina secara berperingkat, menaiki satu demi satu anak tangga sehingga mencapai kejayaan yang diimpikan,” katanya.

IMG_3009.jpeg 558.56 KB
Menerusi inisiatif DUTE 2025 itu, para peniaga terpilih menerima pelbagai barangan asas perniagaan mengikut keperluan masing-masing, termasuk mesin serta peralatan sokongan lain bagi membantu melancarkan operasi harian dan meningkatkan produktiviti perniagaan.

Beliau berharap agar bantuan yang disalurkan dapat dimanfaatkan sepenuhnya serta menjadi pemangkin kepada pertumbuhan perniagaan yang lebih mampan, berdaya saing dan mampu memberikan pulangan yang lebih baik kepada para peniaga.

IMG_3010.jpeg 453.45 KB
Dalam masa yang sama, penghargaan turut dizahirkan kepada Kerajaan Negeri Terengganu melalui Yayasan Pembangunan Usahawan atas komitmen berterusan dalam memperkasa ekonomi usahawan kecil dan penjaja di seluruh negeri.

“Insya-Allah, dengan rezeki pada tahun-tahun akan datang, lebih ramai peniaga lain pula akan berpeluang menerima manfaat daripada inisiatif seperti ini,” tambah beliau.

Program seumpama ini dilihat sebagai langkah proaktif kerajaan negeri dalam memastikan kelangsungan dan pertumbuhan sektor keusahawanan tempatan terus diperkukuh secara inklusif dan berterusan.


Tag :

Artikel Berkaitan