• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

45 Kanak-Kanak Seberang Takir Sertai Khatan Percuma

KUALA NERUS, 28 Februari - Seramai 45 kanak-kanak menyertai Program Khatan Percuma anjuran Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Seberang Takir.

Program yang diadakan bersempena musim cuti sekolah itu turut mendapat kerjasama Masjid Seberang Takir.

Majlis perasmian disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Khazan Che Mat.

Kanak-Kanak terbabit turut dimandikan dengan semburan air oleh pihak BOMBA bagi meredakan ketakutan di samping mengembirakan kanak-kanak yang terlibat dengan program tersebut.

Khazan berkata, sesi berkhatan percuma itu diadakan bagi membantu kanak-kanak dari keluarga yang kurang berkemampuan bagi melaksanakan tuntutan agama.

"Dengan kos berkhatan pada masa kini semakin meningkat sehingga RM150 ternyata ia membebankan bagi segelintir ibu bapa. Alhamdulillah, dengan kerjasama Masjid Seberang Takir, ia berjaya dilaksanakan.

"Berkhatan adalah sesuatu yang sangat penting untuk kesihatan selain daripada suatu tuntutan agama, menunjukkan bahawa Islam itu agama fitrah yang memang sesuai dengan naluri dan keperluan manusia," katanya.

Sementara itu, bapa salah seorang peserta, Rashid Jusoh, 51, bersyukur dengan program berkenaan berikutan kos berkhatan pada masa kini agak mahal.

"Terima kasih kepada semua yang terlibat, saya sangat berpuas hati perjalanan program. Hajat awal memang nak berkhatan di klinik tetapi anak rasa takut, berkhatan ramai-ramai begini kurang rasa takut," ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Masjid Seberang Takir, Halim Che Ibrahim berkata, program julung kali diadakan di masjid itu mengambil kira permintaan para jemaah.

"Untuk makluman juga, kepada anak-anak yang terlepas program berkhatan beramai-ramai baru-baru ini, boleh berkhatan di klinik yang menyediakan perkhidmatan berkhatan, masjid akan bantu bayar sebanyak RM100 dan selebihnya adalah penjaga.

"Melihat sambutan yang menggalakkan, insya-Allah program berkhatan akan dimasukkan dalam program tahunan.


Tag: