• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

50 Pesawah Terengganu Terima Benih Padi Baka Mutasi

KUALA TERENGGANU, 3 Jun- Sebanyak 200 beg benih padi IS21 disumbangkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) kepada 50 pesawah kawasan Kuala Terengganu bagi membantu meningkatkan pengeluaran hasil padi dalam negeri.

Menurut Timbalan Menteri MOSTI, Datuk Ahmad Amzad Hashim, benih padi IS21 yang dijenamakan semula daripada benih NMR152 melalui kajian biak baka mutasi aruhan sinaran gama itu merupakan pencapaian terbaik dihasilkan Nuklear Malaysia bagi meningkatkan pengeluaran sara diri (SSL) padi negara.

"Ini adalah satu kejayaan besar kerana benih padi ini mampu memberi bilangan tanih pengeluaran yang banyak.

"Untuk makluman, antara masalah besar dalam pertanian adalah baja dan racun serangga dan kalau kita dapat kurangkan kebergantungan kepada kedua-duanya melalui jenis benih padi IS21 kita akan dapat menyelesaikan sedikit sebanyak masalah pengeluaran makanan ruji kita iaitu beras," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyeraha Benih Padi IS21 kepada pesawah Pertubuhan Peladang kawasan Kuala Terengganu di Kampung Kubang Tangga, baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Ketuas Setiausaha Pembangunan Teknologi MOSTI; Datuk Ts. Dr. Mohd Noor Azman Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha Perancangan dan Pembudayaan Sains MOSTI; Dr. Nagulendran A/L Kangayatkarusu, Ketua Pengara Nuklear Malaysia; Dr. Abdul Rahim Harun dan Pengerusi Pertubuhan Peladang Kuala Terengganu; Abdullah Bakar.

Tambah Ahmad Amzad, benih padi berkenaan mempunyai daya tahan tinggi terhadap cuaca ekstrem dan mempunyai daya rintang terhadap beberapa penyakit padi yang sering merugikan pesawah.

Setakat ini, benih padi tersebut telah diagihkan di beberapa kawasan di Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Pahang, Kelantan, Melaka dan Perlis melibatkan enam peratus daripada kawasan bertanam di Semenanjung Malysia dengan kuota pengeluaran benih sebanyak 4,700 metrik tan setahun.

"Daripada maklum balas yang diterima, benih padi ini amat bagus dan diyakini akan dapat sambutan, jadi kita harap pasaran bagi jenis IS21 ini akan meningkat pada masa akan datang.

"Negara kita perlu tingkatkan produktiviti makanan ruji kita. Kalau kita dapat tingkatkan hingga sembilan atau sepuluh tan bagi setiap hektar, saya rasa kita boleh tingkatkan pengeluaran kita kerana berdasarkan rekod, pengeluaran padi negara ketika ini adalah sekitar 70 peratus," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa MOSTI turut diberi kepercayaan membantu mengatasi krisis pengeluaran ayam dan telur yang berlaku ketika ini. 

"Selain teknologi yang kita aplikasikan dalam pertanian iaitu penggunaan teknologi dron dalam penyemburan baja dan racun serangga, kita juga diberi tugas berkait masalah sektor penternakan ayam,

"Antara yang diusahakan ialah pengurusan baja menggunakan 'black soldier fly' yang sedang diusahakan untuk menghasilkan protien tinggi dalam makanan ternakan.

"Selain itu, kita juga dicadang mengadakan stok penimbal berhubung bekalan ayam dan kita akan lihat bagaimana untuk bantu, terutama dari segi ruang penyimpanan yang dioptimumkan," katanya.

 

 

 

 

 

 

 


Tag: