500 Motosikal Penuhi Dataran Shahbandar Sempena Perasmian TIBW25

KUALA TERENGGANU, 2 Julai - Sekitar 500 lebih unit motosikal pelbagai jenis sentimeter padu (cc) memenuhi taman komuniti, Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu sempena Majlis Perasmian Terengganu International Bike Week 2025 (TIBW25).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris mengucapkan syabas kepada semua pengunjung yang telah berjaya hadir dalam memeriahkan suasana majlis walaupun dalam keadaan cuaca yang tidak memihak.

"Walaupun keadaan cuaca di penghujung ucapan yang begitu agak kurang baik (kerana hujan), secara dasarnya pencapaian kita untuk menterjemahkan sambutan 'bikers' dari negeri Terengganu pada malam ini melebihi 500 buah motorsikal.

"Dan saya amat berbangga, insya-Allah dengan kehadiran 'bikers' tempatan ini menandakan satu sokongan yang padu kepada Terengganu International Bike Week 2025 pada malam ini.

"Jadi saya yakin dan percaya sasaran kita untuk menerima kunjungan 'bikers' dan juga pelancong yang akan melihat pertunjukan daripada 'International Bike Week' selama lima hari ini akan mencapai sasaran kita seramai 150,000 orang.

Beliau berkata demikian kepada pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) dalam satu sesi sidang media, sebentar tadi.

Turut hadir, Pengasas East Coast Motorcycle Club (ECMC), Tengku Sri Temenggung Raja Terengganu, Dato' Sri Tengku Baharuddin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah serta Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), Hilman Hajijan.

Mengulas lebih lanjut, Datuk Razali optimis terhadap anggaran kehadiran pengunjung pada tahun ini dapat dicapai walaupun angka tersebut menunjukkan lonjakan 15 kali ganda berbanding kehadiran pengunjung pada tahun sebelumnya.

"Saya jangka, insya-Allah ia akan mencapai sasaran tersebut. Berpandukan kepada kerja keras daripada founder ECMC. 

"Jadi bagi pihak kerajaan negeri, kita sangat memberi sokongan padu kepada penganjuran yang sangat berprestij seperti ini.

"Kalau kita nak bandingkan di negara kita, saya jangka Tengganu International Bike Week lah yang agak besar dan secara tidak langsung ia dapat memberi impak positif kepada rakyat negeri Terengganu," jelasnya.

Menurut beliau, selain dari mengunjungi dan menikmati acara-acara yang bakal dipersembahkan TIBW25, penduduk setempat juga berpeluang untuk meningkatkan ekonomi mereka pada masa yang sama.

"Kehadiran para pengunjung ke negeri Terengganu bukan setakat untuk melihat ataupun menghadirkan diri dalam Terengganu International Bike Week, tapi dalam masa yang sama, perniaga-perniaga negeri Tengganu dapat berniaga.

"Dan destinasi yang terpilih di negeri Terengganu akan dikunjungi oleh rakan-rakan 'bikers' daripada luar negeri dan juga luar negera.

"Ini menunjukkan bahawasanya negeri Tengganu adalah negeri wajib singgah kepada 'bikers' dari seluruh negara," ujarnya.

Dengan tema 'Maghi Awal, Balik Lambat', program TIBW25 dijadualkan untuk berlangsung selama lima hari bermula 2 Jun 2025 sehingga 6 Jun 20205, di Dataran Syahbandar, Kuala Terengganu. 

Acara tahunan tersebut juga bakal dimeriahkan dengan persembahan artis terkenal tanah air serta slot istimewa Sembang Santai bersama ikon dakwah tersohor, Ustaz Azhar Idrus bersama Zizan Razak.

Menariknya dalam penganjuran kali ini ialah hadiah utama bagi dua cabutan bertuah berupa satu unit Perodua Axia serta satu unit motorsikal berkuasa tinggi, Ducatti Panigale 959 V2.

Orang ramai boleh mengikuti info terkini TIBW25 melalui saluran rasmi media sosial Beautiful Terengganu Malaysia dan Terengganu Bike Week.