• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

500 Murid Di Kemaman Sertai Kempen Keselamatan Repsol

Sebahagian murid Tahun Empat menyertai Kempen Keselamatan Repsol 

Seramai 500 murid sekitar Kemaman menyertai Kempen Keselamatan Untuk Murid-Murid Sekolah Rendah di bawah program khidmat sosial korporat Repsol, semalam.

Syarikat minyak dan gas bersepadu yang merupakan kontraktor kepada Petronas itu meneruskan kempen yang dirintis di Sabah pada 2013, buat tahun kedua di negeri ini dengan menumpukan Kemaman dan Kuala Nerus.

Pengurus Hubungan Stakeholder Repsol Oil & Gas Malaysia Limited, Ahmad Fakhrurrazi Arshad berkata, program yang telah dijalankan selama lebih lima  tahun itu, telah memanfaatkan lebih 8,500 pelajar sekolah rendah membabitkan 12 daerah di Sabah.


Katanya, melihat kepada kejayaan itu, pihak Repsol memutuskan untuk meneruskan  program sama ke Semenanjung Malaysia  iaitu di Terengganu  bermula  2016.

“Kami telah menjalankan  tiga kempen keselamatan di Kuala Terengganu, Kuala Nerus  dan juga Kemaman dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan untuk manfaat lebih 1,500 murid Tahun Empat.

“Repsol menitikberatkan tanggungjawab sosial  di mana terbahagi kepada empat bidang iaitu keselamatan, pendidikan, kesihatan dan pembangunan modal insan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Kempen Keselamatan Bersama Pelajar Sekolah Rendah Di Daerah Kemaman di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan  Cheneh Baru, Kemaman 

Menurutnya, program itu merupakan kesinambungan usaha syarikat dalam pengisian yang berasaskan keselamatan, antara perkara yang Repsol sendiri utamakan di dalam segenap fasa operasi.

“Kami merasakan bahawa isu keselamatan diri  ini harus diperluaskan dari tempat kerja sehingga ke rumah dan di kalangan masyarakat.

“Kempen ini direka sebagai landasan bagi penyebaran mesej-mesej keselamatan yang tertumpu kepada isu-isu dan ancaman keselamatan diri di rumah, di sekolah dan di persekitaran awam,” katanya.



Ahmad Fakhrurrazi berkata, program itu juga bertujuan membantu murid-murid sekolah rendah kerana mereka merupakan kumpulan sasaran yang memerlukan bimbingan serta pendedahan awal tentang keselamatan diri.

“Sebagai pelopor dan penaja kempen ini, Repsol telah menghasilkan sebuah video berinteraktif, dengan tujuan khas berkongsi mesej-mesej keselamatan,”katanya.



Tag: