• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

500 Peserta Terengganu Bertanjak Warnai Hari Terakhir Karnival Pantai

Sulaiman Sulong (tengah) dan Mat Dan bersama peserta Terengganu Bertanjak.

Oleh : Syed Kamal

KUALA TERENGGANU, 17 September - Program ‘Terengganu Bertanjak’ yang disertai hampir 500 peserta mewarnai hari terakhir Karnival Pantai Terengganu 2019 di Pantai Batu Burok di sini semalam.

Penyelaras program berkenaan, Mohd Rafi Kori berkata, aktiviti yang diadakan pada Hari Malaysia itu juga bertujuan untuk menyemai semangat cintakan tanah air dan seni warisan melayu yang kian dilupakan.

Ujarnya, walaupun ada yang menganggap usaha berkenaan hanya sekadar ikutan dan tidak bertahan lama, tetapi dia percaya aktiviti itu akan menjadi pencetus kesedaran rakyat terhadap khazanah melayu.

“Ini satu permulaan walaupun hanya sekadar ikutan pada awalnya, lama kelamaan saya yakin anak muda boleh memahami dan boleh terima (warisan ini) yang akhirnya berbusana lengkap,” jelasnya ketika ditemui pemberita di Batu Burok semalam.

Menurut Mohd Rafi, generasi muda hari ini kurang didedahkan dengan maklumat dan pengetahuan sebenar terhadap seni warisan bangsa melayu berkenaan. 



“Justeru dengan aktiviti ini, sedikit sebanyak pengetahuan dapat disebarkan kepada masyarakat tentang kebudayaan dan kesenian Melayu.

“Sekali gus industri pembuatan pakaian tradisi busana Melayu akan meningkat dan mampu merancakkan lagi industri pembuatan tradisi melayu seperti kraftangan melayu, kesenian warisan melayu dan pengajian akademi budaya tradisi Melayu,” tambah beliau.

Dia juga mencadangkan agar kerajaan negeri menetapkan satu hari untuk semua rakyat Terengganu termasuk penjawat awam mengenakan busana melayu Terengganu.

“Mungkin kerajaan boleh memikirkan untuk mewujudkan Hari Busana Terengganu, dengan adanya hari tersebut orang ramai pastinya akan terbiasa dengan busana Terengganu,” katanya.

Tanjak yang juga digelar tengkolok atau destar merupakan pakaian kepahlawanan melayu dan kini dipakai dalam pelbagai acara adat istiadat masyarakat Melayu atau majlis di istana. 






Tag: