• 08 Mei 2024 | 29 Syawal 1445

5,000 Peminat Sukan Permotoran Bakal Berkampung Di Pulau Warisan 25 Hingga 27 November Ini



Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman  (tengah) turut memberi sokongan penganjuran Terengganu International Bike Meet bersama Tengku Zaihan (kanan) dan  Sharif sambil menunjukkan risalah program selepas sidang media di U2, Wisma Darul Iman, hari ini.

Terengganu International Bike Meet (TIBM) 2016 bakal menghimpunkan 5,000 peminat sukan permotoran daripada beberapa buah negara jiran, di Pulau Warisan Kuala Terengganu, sepanjang tiga hari bermula 25 November ini.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan II, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman berkata, program anjuran Kerajaan Negeri melalui sekretariat Beautiful Terengganu dan diseleraskan oleh Terengganu Riders Group tersebut turut melibatkan peserta dari Indonesia, Thailand, Brunei serta Singapura.

Katanya, program yang akan diadakan tersebut bakal dijadikan sebagai platform untuk mempromosikan Visit Beautiful Terengganu 2017 selain menghimpunkan peminat-peminat permotoran.

“Kita di pihak Kerajaan Negeri menganggarkan impak yang positif hasil daripada program TIBM 2016 ini dengan mensasarkan lebih 15,000 pengunjung bakal hadir dan memenuhi Pulau Warisan pada 25 hingga 27 November ini.

“Kerajaan negeri juga berharap agar program ini dapat mempromosikan lokasi-lokasi yang menarik di Terengganu serta makanan-makanan yang menjadi daya tarikan kepada pengunjung sama ada dari dalam atau luar negara,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada sidang media TIBM 2016 di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Pengurus Promosi Sekretariat Beautiful Terengganu, Ahmad Fathil Abd Ghani, Penyelaras Acara TIBM 2016, Muhammad Sharif Majhardeen.

Tengku Zaihan berkata, sehingga hari ini, seramai 3,800 peserta telah mendaftarkan diri bagi menyertai TIBM tersebut.

Katanya, daripada jumlah yang telah disasarkan, dianggarkan hampir 70 peratus daripadanya merupakan peserta daripada luar negara.

Tambahnya, peserta-peserta yang bakal melibatkan diri dalam TIBM akan menjadi duta kecil kepada Terengganu dalam mempromosikan destinasi-destinasi menarik di negeri ini.

TIBM 2016 bakal dirasmikan oleh Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman pada 26 November ini pada pukul 8.30 malam di Pulau Warisan, Kuala Terengganu.

Pelbagai acara menarik bakal disajikan kepada pengunjung antaranya persembahan daripada artis tersohor tanah air iaitu Amy Search, pertunjukan pocket bike, skill riding dan pelbagai lagi.

Tag: