• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

500,000 Dijangka Kunjungi MAHA Terengganu

Sidang media selepas mesyuarat "Road To MAHA'. Foto - Solahuddin Al-Idrus

Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) akan diadakan di Negeri Terengganu pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa, Dr Azman Ibrahim berkata, terdapat banyak pengisian yang mampu menarik para pengunjung hadir ke program tersebut yang akan diadakan pada 25 hingga 27 Oktober 2018.

"Kita menjangkakan kehadiran seramai kira-kira 500,000 orang pengunjung yang akan hadir memeriahkan program mega ini.

Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Manir akan bertindak sebagai tuan rumah.

“Ianya program yang melibatkan para peladang, penternak, nelayan serta pelbagai agensi yang terlibat dalam sektor pertanian.

“Menariknya MAHA ini, kita akan isikan dengan seminar dan taklimat  yang melibatkan pelbagai aspek termasuk pemprosesan produk, teknologi pertanian baru, peluang bisnes dan kursus asas berkaitan dengan pertanian.

“Bahkan para pengunjung akan turut didedahkan dengan peluang-peluang pembiayaan yang mampu diperoleh daripada institusi kewangan seperti Agrobank, jelasnya.


Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat "Road To MAHA" di Pejabat MARDI Terengganu, Kampung Kubang Jela, pada Rabu, 8 Ogos.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa, Ustaz Hilmi Harun.

Dr Azman Ibrahim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata, pameran-pameran haiwan yang ditonjolkan adalah termasuk pameran lembu sado, kambing, ikan hiasan, ayam serama dan ayam ratu serta pelbagai lagi yang dijangkakan mampu menarik para pengunjung melawat tapak pameran.

Katanya, dalam masa yang sama gerai-gerai turut disediakan untuk membuka peluang kepada para peniaga menjual pelbagai produk termasuk produk pertanian, penternakan dan perikanan.

Menurutnya, pelbagai agensi kerajaan terlibat dalam program ini, antaranya Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar , MARDI, IADA Ketara, Lembaga Pertubuhan Peladang dan sebagainya.

YB Dr Azman Ibrahim bersama Timbalannya Ustaz Hilmi Harun yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir 
Pihak MAHA juga mengundang beberapa syarikat swasta untuk mereka memperkenalkan input-input baru dalam peralatan pertanian termasuk jentera, benih, fatagasi dan produk pertanian.

“Saya mewakili jawatankuasa induk "Road To Maha" mengajak semua rakyat Malaysia untuk sama-sama hadir berkunjung ke MARDI Manir bagi memeriahkan dan mengambil manfaat secara optimum daripada program yang diadakan,” ujarnya.

Tag: