• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

585 Sertai Karnival Maghi Candat Sotong Terengganu 2019

Sebahagian peserta bersiap-sedia untuk menaiki bot.
KUALA TERENGGANU, 21 April - Seramai 585 pengunjung dalam dan luar negeri hadir menyertai pesta mencandat sotong yang diadakan oleh Kerajaan Negeri Terengganu.

Acara tahunan anjuran Jabatan Pelancongan Negeri dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu diadakan sempena Karnival Maghi Candat Sotong 2019 yang berlangsung daripada 18 hingga 21 April.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, candat sotong adalah 'pesta' turun- temurun yang berlangsung dari bulan April hingga September setiap tahun.
Kerajaan negeri jadikan aktiviti candat sotong pakej pelancongan Terengganu.
"Aktiviti ini merupakan tradisi unik negeri Terengganu yang jarang ada di tempat lain dan telah menarik minat masyarakat dalam dan luar negara.

"Untuk tahun-tahun akan datang, kita berusaha mengangkat aktiviti ini sebagai tarikan pengunjung luar negara, bahkan satu keluarga dari Singapura turut serta dalam acara kali ini," katanya ketika ditemui pemberita.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Maghi Candat Sotong di Jeti Tok Ku Paloh, Taman Tamadun Islam, di sini semalam.
Bot-bot candat mula bergerak ke 'lubuk' sotong.
Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Yahaya Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A. Rahman Yahya dan Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri, Ab Rasid Jusoh.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Dr. Alias Razak dan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau, Dr. Mamad Puteh.

Sebanyak 43 bot candat termasuk feri digunakan dalam pesta candat kali ini yang akan berkampung di perairan Pulau Bidong, Setiu.

Selain aktiviti mencandat, karnival berkenaan turut diserikan dengan demonstrasi permainan tradisional, persembahan gamelan, ceramah agama serta aktiviti wanita dan kanak-kanak.


Pesta candat sotong telah diperkenalkan secara komersial oleh kerajaan negeri seawal tahun 1991 lagi.

Bermula 2014, aktiviti itu berjaya melonjakkan industri pelancongan negeri dan juga memperkenalkan kluster produk dan destinasi pelancongan Terengganu lain seperti Tasik Kenyir dan Setiu Wetland sekali gus menjadi acara tahunan negeri.


Tag: