• 01 Mei 2024 | 22 Syawal 1445

59 Peserta RTB Ketengah Jaya Terima Khabar Gembira

DUNGUN, 5 November 2023 - Seramai 59 penerima terakhir bagi program Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) terkilan bagi kawasan Ketengah Jaya di sini menerima khabar gembira apabila terpilih untuk membuat undian lot tanah.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, ini merupakan bukti bahawa komitmen kepada manifesto yang telah dijanjikan sebelum ini masih terus dijalankan kerajaan negeri walaupun telah memasuki penggal kedua pemerintahan Terengganu.

"Hari ini majlis pengundian lot yang diadakan menjadi satu khabar gembira yang dinantikan oleh bakal penerima geran tanah yang ditempatkan di RTB Terkilan Blok V Ketengah Jaya.

"Ia menunjukkan komitmen kita menyelesaikan baki manifesto yang lalu masih lagi berjalan di penggal kedua ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Undian Lot RTB Terkilan Blok V Ketengah Jaya di Dewan Orang Ramai Ketengah Jaya.

Katanya, bagi permohonan baru, pihak kerajaan tidak membuka lagi permohonan baru buat masa sekarang.

"Kita sedang selesaikan dahulu bagi mereka yang telah memohon pada penggal pertama lalu dan peserta tanah terkilan yang berbaki," ujarnya.

Katanya, kerajaan negeri berusaha untuk menyelesaikan proses penyerahan lot tanah kepada penerima-penerima RTB terkilan dengan secepat mungkin.

"Selepas selesai semua peserta lama, barulah kita akan mencari kawasan-kawasan yang sesuai untuk dijadikan RTB yang baru dan membuka permohonan baru bagi generasi seterusnya," ujarnya.

Sementara itu, rata-rata penerima RTB terkilan yang telah hadir dalam majlis pengundian terbabit meluahkan rasa syukur dan terharu kerana peluang untuk memiliki tanah telah diberikan kepada mereka. Mereka juga berterima kasih kepada pihak kerajaan Terengganu kerana memenuhi janji manifesto yang telah diumumkan.

 


Tag: