• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

595 Kematian Akibat COVID-19 Di Terengganu Tidak Terima Vaksin

KUALA TERENGGANU, 2 Disember - Seramai 595 orang yang meninggal dunia akibat COVID-19 di Terengganu adalah melibatkan individu yang tidak pernah divaksin.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dato’ Dr. Kasemani Embong berkata, ia merupakan 77.5 peratus daripada 768 kematian secara keseluruhan.

“Dalam kalangan kematian COVID-19 Terengganu, 343 orang (45.0 peratus) adalah dalam kalangan wanita dan 425 (55.0 peratus) lelaki.

“Peratus kematian mengikut umur paling tinggi adalah dalam kalangan individu yang berusia 60 hingga 69 tahun iaitu sebanyak 25.3 peratus, diikuti dengan individu dalam lingkungan usia 70 hingga 79 tahun (23.6 peratus) dan 50 hingga 59 tahun (17.2 peratus),” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

 Menurut beliau, dari jumlah kematian ini juga, 85.7 peratus (658 orang) mempunyai faktor komobid. 

“Antara faktor penyebab peningkatan kematian ini adalah kelewatan mendapatkan rawatan, pesakit yang mempunyai faktor komorbid berganda (2 dan ke atas), belum mendapatkan vaksinasi dan pesakit dalam kalangan mereka yang berumur melebihi 50 tahun.

“Mereka yang berumur 50 tahun lebih berisiko untuk mempunyai imuniti berkurangan kerana sebahagian besar dalam kalangan mereka telah mendapat vaksin lebih awal.

Namun majoriti yang telah lengkap vaksinasi dalam kalangan pesakit yang dimasukkan ke ICU dan yang meninggal belum mendapatkan suntikan vaksin penggalak,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama katanya, seramai 31,397 individu telah menerima suntikan dos penggalak, namun jumlah itu amat rendah jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain. 

Katanya, bagi meningkatkan pencapaian suntikan dos penggalak JKNT melaksanakan beberapa strategi iaitu meningkatkan kapasiti fasiliti swasta.

Selain itu pihaknya akan mengaktifkan semula semua klinik kesihatan dan hospital terlibat sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) serta melaksanakan suntikan vaksin secara jangkau luar kepada anggota barisan hadapan bukan KKM.

“Bagi individu yang layak untuk menerima suntikan dos penggalak, individu disarankan untuk mendapatkan suntikan di fasiliti kesihatan KKM dan swasta yang menjadi Pusat Pemberian Vaksin (PPV). 

“JKNT ingin menasihatkan kepada yang mempunyai ibubapa atau saudara-mara yang berusia 50 tahun dan ke atas supaya segera mendapatkan suntikan vaksin dos penggalak,” ujarnya.