• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

64 Penduduk Terima Geran Tanah

SETIU, 10 September – Seramai 64 penduduk di daerah ini telah menerima geran Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) secara pandu lalu di perkarangan Pejabat Daerah dan Tanah di sini semalam.

Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, penerima tersebut adalah antara 400 yang akan mendapat hak mereka kembali secara berperingkat akibat.

Katanya, kesemua penerima ini ialah peserta RTB yang terkilan pada tahun 1999 sehingga 2004 dahulu.

“Alhamdullilah, pagi ini (semalam) kita buat satu majlis penyerahan geran RTB bagi peserta-peserta yang terkilan bagi Daerah Setiu dan mereka mendapat kembali hak mereka hari ini. Majlis serahan geran seumpama ini merupakan kali kedua kita telah laksanakan.

“Sebanyak 64 orang penerima, kesemuanya RTB tapak rumah. Di daerah Setiu ini melibatkan 400 penerima kesemuanya,” katanya selepas program.

Tambah beliau, tanah RTB itu melibatkan dua Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap dan Permaisuri.

“Ini merupakan manifesto Kerajaan Terengganu untuk mengagihkan semula tanah-tanah RTB yang terkilan pada tahun 1999-2004," jelasnya.

Selain itu, katanya lagi, walaupun mempunyai sedikit halangan kerana tapak cadangan RTB dahulu telah diberi hak milik kepada individu lain, pihaknya tetap mencari tapak cadangan yang baharu. 

“Kita berusaha untuk mencari ganti di tempat yang lain dan sebahagian besar sekarang dalam proses penyediaan pelan dan lain-lain,” tambahnya lagi.


Tag: