• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

649 Calon SPM Terima Cenderahati Suntik Semangat

DUNGUN, 27 Februari- Seramai 649 orang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam  Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang menerima cenderahati sebagai penyuntik semangat untuk meraih kejayaan cemerlang. 

Ahli Dewan Undangan Negeri ( Adun) Alias Harun berkata, dengan endemik COVID-19 yang menyelubungi negara, menjadi satu cabaran hebat kepada guru dan calon SPM untuk sentiasa kuat dan bersemangat bagi mengharungi hari-hari peperiksaan.

"SPM akan bermula pada 2 Mac dan mengambil masa sebulan, cabaran paling besar ialah menjaga diri untuk kekal sihat kerana jika dijangkiti COVID-19 ianya akan menganggu jadual peperiksaan calon berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengagihkan cenderahati kit SPM yang berupa alatulis kepada pengetua di enam buah sekolah menengah di DUN tersebut.

Alias bersama rombongannya yang terdiri daripada kakitangan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera(i-MiTS) DUN telah mengunjungi tiga sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Serai, SMK Kompleks Rantau Abang dan SMK Agama Kampung Kuala Abang.

Manakala isterinya, Rugayah Mahmood mengetuai satu lagi rombongan yang juga disertai kakitangan i-MiTS dan Ameerah DUN ke SMK Balai Besar, SMK Tengku Intan Zaharah dan SMK Padang Pulut.

"Kita semua berdoa agar Allah S.W.T sentiasa permudahkan urusan Calon SPM dan dihindari daripada dijangkiti COVID-19 serta dikurniakan kejayaan kepada anak-anak ini di dunia dan akhirat," ujarnya. 


Tag: