DUNGUN, 25 Mei – Ketika dunia bergelut dengan krisis perubahan iklim, Negeri Terengganu tampil menyahut cabaran global untuk melindungi glasier, simpanan semula jadi yang menyimpan 70 peratus air tawar dunia, demi memastikan kelangsungan hidup generasi akan datang.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Dato’ Hanafiah Mat berkata, pencairan glasier akibat pemanasan global memberi kesan langsung kepada kitaran air dunia dan bakal mengancam bekalan air bersih secara keseluruhan.
"Glasier merupakan bongkah ais semula jadi hasil pemampatan salji yang menyimpan kira-kira 70 peratus air tawar dunia.
"Kesan perubahan iklim menyebabkan kadar pencairan glasier semakin meningkat, dan ini memberi impak besar kepada kitaran hidrologi serta bekalan air global," katanya ketika merasmikan penutupan Karnival Hari Air Sedunia Peringkat Negeri Terengganu 2025 di Taman Tasik Sura, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Terengganu, Ir. Ts. Gs. Osman Abdullah; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadli Rahmi Zulkifli dan ADUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman.
Beliau menyifatkan tema sambutan tahun ini, 'Glacier Preservation', sebagai amat signifikan dan perlu dilihat bukan sekadar simbolik, sebaliknya satu seruan mendesak untuk seluruh dunia bertindak.
"Tema ini amat relevan kepada usaha kita untuk mengekalkan kelestarian sumber air dan memperkukuhkan daya tahan ekosistem terhadap perubahan iklim," ujarnya dengan penuh harapan.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan rakyat agar tidak leka dengan memberi contoh pengalaman getir yang hampir melumpuhkan sistem bekalan air bandar Cape Town, Afrika Selatan pada tahun 2018.
"Lihat sahaja kepada pengalaman Cape Town yang hampir berhadapan dengan 'Hari Sifar' apabila bandar tersebut hampir kehabisan air akibat kemarau dan pengurusan sumber air yang lemah.
"Namun, hasil tindakan pantas kerajaan serta penyertaan aktif rakyat, mereka berjaya mengelakkan krisis tersebut melalui sistem penggunaan semula air, pembaikan infrastruktur dan kempen penjimatan," katanya.
Beliau menegaskan bahawa pengajaran itu seharusnya menjadi pemangkin untuk Terengganu kekal proaktif dan tidak menunggu sehingga krisis berlaku.