• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

700 Jalur Gemilang Diagih Kepada Penerima Vaksin

Oleh : Nooreni Abu Bakar

DUNGUN, 19 Ogos - Sebanyak 700 Jalur Gemilang  dan  pamplet Rukun Negara diagih kepada penerima suntikan vaksin COVID-19  bersempena Program Kempen Kibar Jalur Gemilang : Drive Through. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata, kempen anjuran Jabatan Perpaduan Negara itu bertujuan memupuk  semangat patriotik dan cintakan tanah air dalam kalangan rakyat Malaysia.

"Rakyat perlu menghargai perjuangan generasi dahulu di dalam berjuang menentang penjajah, gabungan tenaga dan buah fikiran ulama - ulama dahulu, negara kita berjaya dibebaskan daripada terus dijajah," katanya. 

Alias berkata demikian selepas majlis tersebut yang diadakan di perkarangan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kuala Abang (SMKAKA) di sini.

Pemilihan SMKAKA adalah kerana mengambil peluang orang ramai yang hadir untuk Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sempena Program Mobilasi Vaksin Komuniti (MOVAK).

Turut hadir, Pengarah Perpaduan Negeri Terengganu, Rosli Alias, Pegawai Perpaduan Negara  Daerah Dungun,  Tengku Mazilawati Tengku Muhamad dan Penghulu Mukim Abang, Abdul Ghafar Abu Bakar.

Alias turut menyeru agar rakyat sentiasa menjaga perpaduan tanpa mengira perbezaan kaum, agama, dan bangsa. 

"Dengan menonjolkan nilai integriti dan jati diri rakyat Malaysia yang bersih dan tidak di cengkam penjajah dalam bentuk baharu iaitu dengan menjajah minda rakyat supaya menetang kerajaan yang ada hari ini," ujarnya.