• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

700 Kapal Layar Singgah Di Terengganu

Ahmad Faisal bersama pelayar yang singgah di Kuala Terengganu dirai dalam satu majlis di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu. Foto Harish Fadzillah Kassim

Lebih 700 kapal layar membabitkan hampir 1,500 pelayar luar negara singgah ke Terengganu melalui Program Sail Malaysia- Passange To The East yang diperkenalkan sejak 2008.

Antaranya negara terlibat Australia, New Zealand, United Kingdom, Amerika Syarikat, Belgium, Perancis, Jerman, Mexico, Thailand dan Filipina.

Program yang dikendali kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu itu bertujuan memperkenalkan laluan pelayaran baru dan lokasi menarik di negeri ini.

Pengarah jabatan itu, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak, berkata Terengganu menjadi lokasi wajib singgah berikutan mempunyai pelbagai kemudahan, antara  lokasi mengisi minyak,  marina bertaraf antarabangsa dan tempat pembaikian kapal.

Katanya, kebiasaan mereka mengambil masa tiga hingga empat minggu untuk berada di satu-satu lokasi, termasuk  Sabah  dan Sarawak.

“Pelbagai aktiviti  dirancang, termasuk scuba dan snokling jika berada di pulau, apabila di daratan pula akan melawat pelbagai tempat menarik.

“Di Kuala Terengganu, kita membawa mereka  ke  Kampung Cina, Pasar Payang, Muzium Negeri, Taman Tamadun Islam dan  Kompleks Kraf Noor Arfa,”katanya.

Beliau bekata demikian kepada pemberita selepas meraikan 30 pelayar Program Sail Malaysia- Passange To The East di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, hari ini.

Sebelum itu  pelayar yang sama berlabuh di Cukai, Kemaman kemudian di Pulau Kapas, Marang sebelum singgah di Kuala Terengganu dan  selepas ini dijadualkan  ke Pulau Redang.

Ahmad Faisal berkata, kunjungan pelayar pada tahun ini agak merosot iaitu hanya 30 pelayar (15 kapal layar) berbanding 70 pelayar (50 kapal layar) sebelum ini.

“Faktor itu berkemungkinan pelayar berasa kurang selamat berikutan ancaman lanun di perairan selatan Filipina yang berlaku awal tahun ini.


“Perkara ini sudah diperjelaskan kepada mereka perihal sebenar dan yakin kedatangan pelayar pada tahun akan datang kembali seperti biasa iaitu anggaran 60 hingga 70 pelayar,”katanya.

Tag: