• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

7,082 Rakyat Terengganu Berjaya Dapat Kerja

KUALA TERENGGANU, 3 Oktober - Setakat Ogos 2021, seramai 7,082 rakyat Terengganu telah berjaya mendapat pekerjaan melalui penganjuran pelbagai temuduga termasuk karnival pekerjaan yang diadakan Terengganu Human Resources Development Center (THRDC). 

Pengarah PERKESO Negeri Terengganu, Farihah Che Husin berkata, bersama PERKESO Terengganu, mereka telah berjaya menganjurkan sebanyak 55 temuduga termasuk Karnival Pekerjaan Negeri Terengganu di samping kerjasama Urusetia Pekerjaan Negeri Terengganu (UPNT) dan Majlis Pekerjaan Negeri Terengganu (MPNT).

"Di Terengganu, PERKESO bekerja rapat dengan kerajaan negeri, sentiasa bersama-sama agensi kerajaan dan swasta serta NGO (Badan Bukan Kerajaan Negeri) bagi membantu rakyat.

"Hasil daripada penganjuran temuduga ini, seramai 7,082 rakyat Terengganu telah berjaya mendapat pekerjaan sekali gus mengurangkan indeks pengangguran di Terengganu.

"Kerajaan negeri turut prihatin di mana hasilnya pada awal Julai tahun ini tertubuhnya UPNT dan MPNT yang ditubuhkan daripada cetusan idea THRDC, anak syarikat kerajaan negeri bersama PERKESO.

"UPNT mempunyai lebih 30 agensi daripada pihak majikan, pendana, pemain industri serta pusat latihan dan pembelajaran bagi menjalankan tanggungjawab membawa semula kerjaya kepada rakyat yang terkesan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Jubli Emas Peringkat PERKESO Negeri Terengganu di sini hari ini.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Ahli Parlimen Setiu, Shaharizulkarnain Abd Kadir. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC), Aminuddin Omar dam Ketua-Ketua Jabatan Kerajaan Negeri Terengganu.

Menurut Farihah, selain menawarkan pekerjaan, UPNT dan MPNT juga berperanan menyalurkan bantuan-bantuan Kerajaan Pusat kepada rakyat Terengganu agar tiada yang ketinggalan dalam mendapat manfaat berkenaan.

Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) THRDC, Aminuddin Omar, sebuah berita gembira untuk rakyat Terengganu apabila sebuah syarikat di Shah Alam, Kilang Panasonic Appliances Air-Conditioning Malaysia Sdn.Bhd. menawarkan kerjasama kepada kerajaan negeri bagi mengisi kekosongan peluang pekerjaan yang memerlukan 800 pekerja dari Terengganu.

Sehingga kini, permohonan sedang giat berjalan dan pengambilan akan dibuat dalam masa terdekat.


Tag: